Berita

Gelandangan, pelarian dalam senarai golongan rentan – PM

MESYUARAT Pertama Jawatankuasa Kabinet bagi kesejahteraan golongan rentan bersetuju mewujudkan rangka tindakan (blueprint) dan penubuhan jawatankuasa mengenai isu gelandangan.
- Diterbit 5 Ogos 2022 6:43 AM MYT

GOLONGAN gelandangan, individu tanpa dokumen perjalanan (stateless), pelarian, pesakit penyakit berjangkit dan miskin kini disenarai sebagai golongan rentan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bersetuju memasukkan kumpulan itu selepas memperluaskan definisi golongan rentan kepada 12 golongan.

“Definisi golongan rentan kini diperluaskan kepada 12 golongan antaranya gelandangan, individu tanpa dokumen perjalanan (stateless), pelarian, pesakit penyakit berjangkit, miskin dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat
Pertama Jawatankuasa Kabinet bagi kesejahteraan golongan rentan dihadiri Menteri, Timbalan Menteri berkaitan serta pegawai kanan kementerian dan jabatan berkenaan.

Katanya, jawatankuasa itu merupakan platform khas meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan golongan rentan di negara ini, termasuk pusat jagaan kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta pusat tahfiz.

“Penubuhan jawatankuasa ini bagi merangka pendekatan holistik untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka dilindungi daripada manipulasi, pengabaian dan penganiayaan.

“Keahlian jawatankuasa ini juga akan diperluaskan dengan penyertaan oleh wakil-wakil NGO yangberkaitan bagi penyelarasan perlindungan golongan rentan,” katanya.

Katanya, demi menangani isu gelandangan, Kementerian Wilayah Persekutuan menyedia dan mengawal selia pusat seperti Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Rumah Bimbingan Gelandangan dan Pusat Transformasi Anjung Kelana.

“Mesyuarat bersetuju mewujudkan rangka tindakan (blueprint) dan penubuhan jawatankuasa mengenai isu gelandangan. Ini kerana pada masa kini, tiada punca kuasa dan perundangan khusus dalam pengoperasian dan pengendalian gelandangan di negara ini,” katanya.

Katanya, menerusi mesyuarat itu juga, kerajaan turut bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan pendaftaran pusat jagaan sedia ada serta menggandakan tindakan penguatkuasaan, termasuk menyemak semula Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] serta Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.

“Sementara itu, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 [Akta 802] akan dikuatkuasakan sebagai persediaan kepada unjuran Malaysia mencapai status ‘negara tua’ menjelang 2030 serta menyokong perkembangan industri penjagaan kesihatan warga emas di pusat jagaan swasta,” katanya.

Katanya, kerajaan menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) pula akan memperkasa pendidikan dan penyeragaman pengurusan tahfiz di seluruh negara membabitkan 1,208 pusat tahfiz berdaftar sehingga kini, sejak DPTN mula diperkenal 2016.

“Kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu bersama meneliti status tanah bagi mempermudahkan pusat jagaan dan pusat tahfiz untuk mendapatkan kelulusan beroperasi. Contohnya, isu penukaran status tanah pertanian kepada tanah komersial bagi membolehkan pusat-pusat ini beroperasi dengan sah,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas