Berita

Kes bayaran cukai RM1.74 bilion: Rayuan Najib, dua anak Najib disebut pada 16 Dis

- Diterbit 19 November 2020 9:05 AM MYT

RAYUAN bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua anak lelakinya berhubung pembayaran cukai mereka berjumlah RM1.74 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan disebut pada hari yang sama di Mahkamah Rayuan.

Najib, 67, dikehendaki membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 manakala dua anaknya Datuk Mohd Nazifuddin, 37, perlu membayar RM37.6 juta dan Datuk Mohamad Nizar, 42, sebanyak RM13.16 juta.

Berdasarkan kepada senarai Mahkamah Rayuan, ketiga-tiga rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd Khairi Haron pada 16 Dis.

Mereka memfailkan rayuan secara berasingan di Mahkamah Rayuan.

Najib, Mohd Nazifuddin dan Mohamad Nizar perlu membayar cukai berkenaan kepada LHDN selepas Mahkamah Tinggi berasingan di Kuala Lumpur dan Shah Alam membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus terhadap mereka.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masing-masing pada 22 dan 6 Julai lepas manakala terhadap Mohamad Nizar oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Sept.

Pada 25 Jun tahun lepas, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Pekan itu, menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Hakim Datuk Ahmad Bache dalam penghakimannya menetapkan bahawa memandangkan notis taksiran telah diserahkan dengan sempurna kepada Najib selaras dengan Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, maka cukai yang harus dibayar di bawah taksiran tambahan menjadi tertunggak dan perlu dibayar kepada LHDN.

Beliau memutuskan, menurut Seksyen 106 akta berkenaan, mahkamah mendapati cukai pendapatan tambahan itu telah tertunggak dan boleh diperoleh kembali sebagai hutang yang perlu dibayar kepada kerajaan bagi jumlah RM1,692,872,924.83, sebagaimana yang termaktub dalam sijil hutang yang dikeluarkan pada 5 Ogos 2019.

“Mahkamah memutuskan penghakiman terus dikenakan ke atas defendan bagi jumlah yang dituntut oleh plaintif seperti mana dalam pernyataan tuntutan plaintif iaitu sebanyak RM1,692,872,924.83 dengan kos,” kata hakim itu.

Memetik satu penghakiman Mahkamah Persekutuan, hakim itu berkata peruntukan sebagaimana yang ditekankan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu “bayar dahulu, bincang kemudian”, walaupun keras, adalah peruntukan yang sengaja ditetapkan oleh perundangan disebabkan terdapat banyak insiden pengelakan cukai di negara ini.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia, telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai tahun lepas, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam penghakimannya pula berkata LHDN berjaya menunjukkan kes yang jelas dan nyata manakala Mohd Nazifuddin gagal untuk menunjukkan pembelaan bermerit.

LHDN memfailkan permohonan yang sama terhadap Mohamad Nizar, menuntutnya membayar cukai berjumlah RM13,159,821.94 bagi tahun taksiran mulai 2011 hingga 2017.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Julie Lack Abdullah dalam penghakimannya memutuskan perkara yang bangkitkan Mohamad Nizar tidak mempunyai merit dan tidak berasas.

Beliau juga berpendapat pembayar cukai perlu membayar cukainya dahulu tanpa menghiraukan rasa tidak puas hati dengan jumlah tersebut atau atas apa alasan sekali pun. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas