Berita

Gara-gara terpedaya pegawai LHDN, lelaki hilang RM12,000

- Diterbit 14 Mei 2020 8:00 PM MYT

LABUAN – Seorang pemuda mengalami kerugian sebanyak RM12,000 akibat tertipu oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN ) pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah WP Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa menerima panggilan telefon pada pukul 9.30 pagi yang mengaku sebagai pegawai LHDN dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai LHDN sebanyak RM36,800,90.

“Apabila mangsa menafikan perkara tersebut, panggilan telah disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis dan memaklumkan mangsa mempunyai rekod dalam kes pengubahan wang haram dan dadah.

“Suspek telah meminta mangsa memberikan butiran akaun bank dan mangsa mendapati wang sebanyak RM12,000 dalam akaun Public Bank mangsa telah dipindahkan ke akaun bank yang tidak diketahui,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Farid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan hukuman penjara 10 tahun dan dengan sebat dan denda.

Pihak PDRM menegaskan agar orang ramai berhati- hati dan tidak menerima panggilan telefon dari individu yang tidak diketahui bagi mengelak sebarang penipuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas