Berita

Jakim hanya benarkan Masjid Negara adakan solat Jumaat hari ini

MASJID NEGARA memulakan kembali solat Jumaat hari ini.
- Diterbit 15 Mei 2020 3:25 AM MYT

KUALA LUMPUR – Hanya Masjid Negara merupakan antara tiga masjid  yang berada di bawah pentadiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memulakan pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu berjemaah dan solat tarawih mulai hari ini selain solat sunat Aidilfitri nanti.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Paimuzi Yahya berkata, perkara ini berikutan hanya Masjid Negara berada dalam zon hijau manakala dua lagi masjid iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya masih dalam zon kuning.

“Justeru buat masa ini hanya Masjid Negara akan memulakan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah, solat tarawih dan solat sunat Aidilfitri mulai hari ini, 15 Mei 2020.

“Bagaimanapun, pelaksanaan solat berjemaah tersebut hanya dihadkan kepada jemaah yang tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan masjid serta jemaah yang akan ditentukan oleh pihak pentadbiran masjid,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Kenyataan itu mengulas keputusan kerajaan mengenai pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah, solat tarawih dan solat sunat Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi zon hijau seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri  semalam.

Paimuzi berkata, seperti yang disarankan pihak kerajaan, pelaksanaan solat berjemaah di masjid perlu mematuhi semua syarat yang telah dinyatakan melalui garis panduan yang telah disediakan.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak pentadbiran masjid terlebih dahulu dan tidak dibenarkan hadir ke masjid untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti sebelum mendapat keizinan pentadbiran masjid.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya kehadiran jemaah yang di luar kawalan pihak masjid dan boleh menyebabkan penjarakan sosial yang tidak terkawal. Sama-samalah kita berdoa semoga keadaan negara kita kembali pulih sepenuhnya dari wabak Covid-19 dan aktiviti di masjid dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), setakat ini tidak mengeluarkan sebenar senarai masjid dan surau Jumaat yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah.

Hanya masjid yang berada dalam zon hijau dibenarkan mengadakan solat jemaah dan untuk itu orang ramai perlu merujuk terlebih dahulu kepada aplikasi MySejahtera untuk mengetahui zon tertentu di lokasi masing-masing. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas