Berita

Beza Tengku Zafrul dan Guan Eng bentang belanjawan… – Annuar

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
- Diterbit 8 November 2020 4:18 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, berkata rakyat menerima sentuhan langsung Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sekali gus mencatat sejarah sebagai belanjawan terbesar sejak merdeka.

Beliau berkata, Tengku Zafrul bukan seorang ahli politik, namun beliau cukup profesional dalam merangka belanjawan, termasuk ketika sesi pembentangan di Dewan Rakyat semalam.

“Tiada sepatah pun menyentuh atau menyindir. Sangat berbeza belanjawan disediakan Menteri Kewangan terdahulu, Lim Guan Eng.

“Syukur kerana kerajaan berkeyakinan dengan potensi tanah rizab Melayu di kawasan strategik. RM750 juta diperuntuk melalui Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Kampung Baru, Sungai Penchala antara sasaran utama pembangunan,” katanya menerusi ciapan Twitter, hari ini.

BH malaporkan Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, belanjawan itu juga bukti jelas bahawa kerajaan sentiasa mendengar rintihan rakyat, apabila isu membabitkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bayaran morotarium turut diberi perhatian.

“Bantuan tunai turut ditambah baik dan ia jelas satu belanjawan yang cukup prihatin. Banyak agenda yang sebelum ini cuba ditanam hidup-hidup oleh DAP, dihidupkan semula.

“Alhamdulillah ia untuk kebaikan rakyat dan sememangnya igauan buat DAP dan sosialis lain. Akhirnya peneroka terbela. Tahniah (Datuk Seri) Idris Jusoh dan Tengku Zafrul,” katanya.

Annuar turut menempelak pihak yang mendakwa kerajaan tidak jujur dalam melakukan usaha memulihkan ekonomi, selepas dilanda krisis ekoran wabak COVID-19.

Pembangkang, katanya, tentu sahaja sedang bekerja kuat untuk mencari salah dan menunjuk bahawa mereka jauh lebih bijak.

“Hakikatnya 22 bulan mereka gagal, maka tiada wibawa lagi untuk memandai-mandai. Rakyat mahu mara ke hadapan.

“Kerajaan tidak jujur hendak memulihkan ekonomi? Kalau begitu siapa yang jujur? Datuk Seri Anwar Ibrahim? Rakyat kenal semua,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas