KEMISKINAN bukanlah isu asing dan hanya terpilih kepada pentadbiran pemimpin negara semata-mata. Malahan ia sering berlegar dalam kalangan rakyat yang memahami isu ini perlu ditangani dengan segera.
Bercakap tentang hal tersebut, Ketua Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Rospidah Ghazali berkata berdasarkan rekod eKasih, sekurang-kurangnya 6,100 isi rumah kategori miskin dan 4,500 isi rumah miskin tegar di Wilayah Persekutuan.

“Di Kuala Lumpur mencatatkan 4,051 miskin dan 3,865 isi rumah miskin tegar sementara Labuan pula merekodkan 1,605 miskin dan 654 isi rumah miskin tegar di mana pewujudan kelas kemampuan (B40, M40 dan T20) dalam kalangan masyarakat menjadi petunjuk bahawa sebilangan besar rakyat hidup dalam kebimbangan dengan kemampuan kewangan masing-masing,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Rospidah berkata pelbagai kaedah penyelesaian digali untuk menangani isu tersebut antaranya meningkatkan pendapatan boleh guna di mana kemungkinan kadar upah minima perlu disemak semula.
“Hal ini supaya ia sejajar dengan apa yang berlaku dalam konteks kos sara hidup hari ini supaya dapat meningkatkan keupayaan tabungan khususnya dalam kalangan isi rumah miskin.
“Selain itu, mewujudkan kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan pihak universiti misalnya Universiti Malaya telah bekerjasama dengan kerajaan menjalankan projek berkait pendapatan iaitu mencari perniagaan berdaya saing dan juga program keusahawanan.
“Seterusnya, daripada aktiviti ekonomi secara berkelompok di mana saya lihat dan yang telah pun dijalankan sekarang ini iaitu Kebun Komuniti. Bagi saya ia cukup bagus dari segi mengurangkan perbelanjaan isi rumah.
“Kita semua sedia maklum perbelanjaan harian pada masa ini agak mahal jadi dengan adanya program komuniti di bandar sangat membantu golongan susah,” ujar beliau pada sesi pembentangan forum bertajuk ‘Menoktahkan Kemiskinan dan Merapatkan Ketaksamaan: Ke Arah Penyelesaian Kehidupan Lestari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.
Kata beliau, dari segi penyelesaian sosial pula, semasa COVID-19 melanda masalah utama adalah kelangsungan hidup iaitu dari segi kesampaian atau akses kepada pemakanan.
“Sebelum itu pun kita berhadapan dengan masalah sekuriti makanan khusus dalam kalangan golongan yang miskin. Saya kira program perlindungan sosial perlu lebih sensitif terhadap aspek ataupun sekuriti makanan untuk bayi, kanak-kanak, ibu mengandung dan pelajar.
“Ini kerana melalui pengambilan makanan yang berkhasiat, nutrisi yang seimbang dan sebagainya akan menghasilkan masyarakat atau individu yang produktif dan bijak untuk membawa ekonomi yang lebih maju pada masa hadapan,” tambah beliau dari segi pendidikan pula perlu ada penyelesaian kepada para pelajar yang tercicir.
Ujar beliau, peranan badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis sosial wajar untuk bertindak secara proaktif untuk menilai, memahami dan menggerakkan pelan tindakan akar umbi bersesuaian bagi membantu menangani isu ini secara tuntas dan berkesan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kira-kira 130,000 orang rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh. -WILAYAHKU