Fokus

Gahnya dunia Melayu

SEBAHAGIAN artifak yang ditemui di Candi Angkor Wat dipamerkan di Muzium Negara.
- Diterbit 21 Februari 2020 3:13 AM MYT

“Pameran Kota Yang Hilang serlahkan tamadun besar Kepulauan Melayu atau Golden Chersonese.

PADA zaman perhubungan dunia masih terbatas, ahli falsafah Greek, Claudius Ptolemy (100M-170M) sudah mengenali dan meletakkan Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago di dalam petanya yang dirujuk sebagai Golden Chersonese atau Semenanjung Emas.

Menerusi buku-buku teks dan kesusateraan dahulu kala, kata-kata Ptolemy itu dapat dibuktikan dengan bahasa perantaraan, lingua franca yang digunakan sekitar abad ke-7 hingga abad ke-13 Masihi iaitu zaman kerajaan Srivijaya. Malah pada zaman itu, bahasa Melayu yang menjadi lingua franca turut digunakan pedagang Eropah.

Bagi melihat dengan jelas, bukti-bukti kewujudan Semenanjung Emas itu, Muzium Negara, Kuala Lumpur mengadakan Pameran ‘The Lost Kingdom’ atau ‘Kota Yang Hilang’ dengan menampilkan arca serta batu bersurat atau prasasti dari abad pertama Masihi.

Ia antara lain bertujuan menonjolkan kegemilangan zaman tersebut yang mana Kepulauan Melayu mempunyai tamadun yang besar, perdagangan serta kesenian yang hebat selain diangkat sebagai bangsa agung sebelum kedatangan kuasa kolonial.

Pameran yang berlangsung sehingga 30 April ini menampilkan 12 ‘Kota Yang Hilang’ iaitu Funan, Chenla/Zhenla, Angkor/Khmer, Pyu, Dravaravati, Champa, Langkasuka, Kedah Tua/Chieh Cha/Kataha, Srivijaya, Sailendra, Mataram/Medang dan Majapahit.

MOHD. Nasrulamiazam menceritakan artifak yang dipamerkan.

Kota-kota yang hilang ini disebabkan beberapa faktor antaranya peperangan atau hal yang berkait dengan keruntuhan kerajaan dan sebagainya atau bencana alam.

Candi Borobudur di Jawa Tengah, Indonesia pernah dihuni dua kerajaan besar iaitu Mataram dan Sailendra (abad ke 7,8 dan 9 Masihi).

Mataram meninggalkan Jawa Tengah dengan kosong akibat letusan gunung berapi. Jadi mereka ambil keputusan untuk beralih ke Jawa Timur dan membangunkan kerajaan Majapahit, Singgahsari, Kediri bermula pada abad ke-12.

Angkor pula ditinggalkan kosong pada abad ke-15 akibat serangan kerajaan-kerajaan Siam bermula dengan Suko Thai, Ayuteya sehingga abad ke19 sebelum ditemui Perancis.

Pengarah Muzium Adat, Mohd. Nasrulamiazam Mohd. Nasir berkata, pameran yang mengetengahkan 103 artifak termasuk arca dan replika itu berkisarkan kerajaan-kerajaan awal di Nusantara yang kini dikenali sebagai Asia Tenggara yang mana ia pernah berlangsung antara abad pertama hingga abad ke-14 Masihi.

PELAWAT leka membaca sejarah lama yang dipamerkan di sekeliling ruang pameran.

Jelasnya, kerajaan-kerajaan ini, berada dalam kawasan tanah besar Tenggara dan Kepulauan Nusantara termasuk Indonesia, Thailand, Malaysia, Kemboja dan Vietnam.

“Daripada negara tersebut ada beberapa kerajaan yang muncul antaranya, Funan diikuti kerajaan besar seperti Langkasuka, Champa, Srivijaya dan Angkor seterusnya di kepulauan Nusantara seperti Kedah Tua, Srivijaya, Majapahit, Kediri dan sebagainya.

“Kerajaan-kerajaan ini mempunyai kota tersendiri contoh Borobudur adalah milik kerajaan Sailendra, Srivijaya; Angkor di Kemboja pula milik kerajaan Angkor dan beberapa kota di Vietnam Tengah menjadi milik kerajaan Champa. Kerajaan ini bersilih ganti yang mana ia meninggalkan bukti yang besar.

“Apa yang kita pamerkan hari ini adalah sumber yang jelas secara fizikal dan bukti kerajaan tersebut meninggalkan artifak arkeologi, seni bina, kebudayaan dan kesusateraan,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

Kerjasama serantau

Melibatkan kerjasama dengan Muzium Nasional Indonesia dan Muzium Nasional Kemboja, beberapa arca dan batu bersurat yang disebut sebagai Prasasti dibawa masuk untuk dipamerkan di Muzium Negara antaranya Prasasti VII (Melayupura) tanpa tarikh yang dijumpai di Pagarruyung, Sumatera Barat.

PELBAGAI artifak purba dari kerajaan lama di Nusantara dipamerkan.

Prasasti itu ditulis dalam tulisan Palava dengan menggunakan bahasa Melayu kuno dan Jawa kuno. Menurut Casparis (1989), prasasti itu dikeluarkan Raja Akarenddrawarman yang memerintah kerajaan Melayupura sebelum zaman Adityawarman.

Prasasti atau batu bersurat merupakan bukti nyata yang mencatatkan peristiwa kerajaan tersebut dan memperlihatkan susur galur raja mereka, peristiwa tentang hal-hal berlaku pada zaman tersebut dan sesetengahnya memuatkan mantera-mantera berkait dengan peristiwa dalam kerajaan masing-masing.

Setiap kota dan kerajaan tersebut mempunyai candi-candinya yang tersendiri malah sehingga ke hari ini, ia masih tersergam indah seperti Prambanan (Mataram) di Jogjakarkata dan Lembah Bujang, Kedah.

Menurut Mohd. Nasrulamiazam, arca yang dihasilkan pada zaman tersebut juga mempunyai gaya atau reka bentuk tersendiri mengikut tempoh masa, walaupun kelihatan sama tetapi terdapat perbezaan iaitu Srivijaya dan Majapahit adalah Hindu.

Champa juga kebanyakannya adalah Hindu manakala di Angkor ada percampuran Hindu dan Buddha.

REPLIKA kapal abad ke 13 turut dipamerkan untuk pengetahuan pengunjung.

Arca atau keseniaan tersebut bukan hanya mencerminkan falsafah atau kepercayaan masyarakat tersebut malah mempunyai nilai keakrifan lokal.

Walaupun ada pengaruh Hindu atau Buddha, masyarakat di zaman tersebut telah mengolah dalam cita rasa tempatan. Sebab itu arca yang dijumpai di Nusantara atau Asia Tenggara mempunyai perbezaan dan ia tidak sama dengan arca yang dijumpai di India.

“Seperti juga teks sastera yang dihasilkan pada zaman awal, sememangnya ada nama-nama yang dipengaruhi India iaitu Ramayana dan Mahabrata. Antara teks purba adalah seperti Krenayana, Negara Kartagama.

“Di Indonesia, kesusasteraannya bermula abad ke-9 dan ke-10, mereka menulis dengan Bahasa Kawi atau kuno, pengaruh Sanskrit dan sebagainya, mereka memperlihatkan nilai kesusasteraan yang tinggi dengan menghasilkan cerita-cerita yang menarik, zaman Kediri terkenal dengan cerita panji sepeti panji samerang atau cerita yang berkait dengan kepahlawanan Jawa.

“Adapatasi ini memperlihatkan kekreatifan bangsa tempatan tentang sejarah dan keseniaan kesusteraan serta objek-objek yang dihasilkan seperti seramik, seni bina kapal, jumpaan-jumpaan manik,” kata Mohd. Nasrulamiazam yang membuat kajian selama dua tahun tentang kerajaan-kerajaan purba tersebut.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas