Agama

Kepantasan melakukan ketaatan kepada Allah SWT

SEORANG lelaki berdoa memohon keredhan Allah. - Gambar hiasan
SEORANG lelaki berdoa memohon keredhan Allah. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:49 AM MYT

KETAATAN merupakan satu perkara yang indah dan memberikan banyak manfaat. Taat seorang rakyat kepada pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab dengan baik akan membuatkan negara akan menjadi aman, damai dan kompetitif.

Sementara itu, taat seorang anak kepada ibu bapa akan menyebabkan suasana keluarga menjadi bahagia seperti taman disyurga.

Taat seorang pekerja dengan ikhlas bekerja kepada majikan demi kelangsungan hidup dan peningkatan kerjaya bakal membuatkan syarikatnya maju dan berdaya saing.

Namun yang paling utama ialah kepantasan melakukan ketaatan kepada Allah SWT terutama yang melibatkan aspek ibadah dengan melaksanakan syariatNya dalam kehidupan merupakan jambatan utama menuju keredhaanNya.

Secara hakikatnya, pelbagai nikmat Allah SWT berikan kepada manusia termasuk dua nikmat yang kerap diabaikan iaitu kesihatan dan waktu lapang.

Nabi SAW bersabda: “Ada dua macam nikmat yang di dalamnya banyak manusia tertipu; kesihatan dan waktu lapang” [HR Muslim].

Imam Ibnu Hajar dalam Fath alBari menjelaskan, “Sesiapa sahaja yang memiliki waktu lapang dan kesihatan hendaklah tidak terpedaya dengan meninggalkan syukur kepada Allah yang telah melimpahkan kenikmatan kepada dirinya. Di antara bentuk syukur adalah mengikuti perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Siapa saja yang lengah dalam ketaatan, ia telah terpedaya.”.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya, Al-Waqtu fi Hayat al-Muslim, menulis; al-Quran telah menerangkan bahawa kelak manusia akan sangat menyesali sikapnya yang mengabaikan waktu, membuang kesempatan untuk beriman, bertaubat dan beramal soleh.

Menurut beliau, ada dua episod penyesalan manusia kelak; Pertama, saat sakaratul maut. Al-Quran mengkhabarkan kita bahawa ramai orang yang ketika akan dijemput ajalnya, meratap dan menyesali umurnya yang dihabiskan secara sia-sia (Rujuk Surah al-Munafiqun (63): 9-10).

Seharusnya, seorang Muslim tidak akan pernah merasa tenang sebelum menyempurnakan perintah Allah SWT. Allah SWT telah mengingatkan tidak sama darjat orang-orang yang telah berjuang mengerahkan daya upaya menegakkan agama Allah SWT dengan orang yang hanya berdiam diri.

“Tidaklah sama Mukmin yang duduk-duduk saja (tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwa mereka satu darjat atas orang-orang yang duduk-duduk saja.” Surah an-Nisaí(4):95.

Justeru bersegeralah untuk melakukan amal soleh dan ketaatan kepada Allah SWT kerana itulah petua dan resipi kejayaan orang-orang cerdik dan pintar yang meyakini adanya kehidupan di akhirat setelah kematian di dunia.

Megat Lutfi Megat Rahim merupakan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas