Personaliti

Gadis gusti berhijab hiasi muka depan Forbes

NOR 'Phoenix' Diana ketika di gelanggang.
- Diterbit 3 April 2020 5:58 PM MYT

PERNAH mencetuskan fenomena apabila muncul wanita Muslim Malaysia pertama terlibat dalam acara gusti profesional, kini sekali lagi nama Nor ‘Phoenix’ Diana menjadi sebutan apabila tersenarai dalam Forbes ’30 under 30 Asia’ tahunan kelima.

Pemilihan Phoenix atau nama sebenarnya Syaradeeba Khamarulzaman, 20, di bawah kategori Sukan dan Hiburan adalah kerana potensi kejayaan dalam industri yang diceburinya.

Forbes ’30 Under 30 Asia’ adalah senarai anak muda di seluruh Asia bawah 30 tahun yang berjaya menginspirasikan keyakinan bagi menghadapi tahun yang mencabar ini.

Berkongsi kegembiraan tersebut di laman Facebook peribadinya, Phoenix mengakui tidak menyangka dipilih dan bersyukur dengan pengiktirafan yang diterima.

COVER Forbes Edisi April 2020.

“Ini adalah sesuatu yang sangat menggembirakan dan terima kasih di atas ucapan tahniah yang tidak putus-putus diberi,” tulisnya.

Pun begitu, dia turut berharap agar dalam masa yang sama pihak media turut memberi perhatian kepada belia Malaysia lain yang turut diiktiraf kerana kehebatan masing-masing.

Gadis kelahiran Keramat, Kuala Lumpur ini pernah mencuri perhatian dunia tahun lalu apabila muncul sebagai juara Pro Wrestling – The Wrestleconi.

Selain Phoenix, atlet luncur air pecut negara, Anja Chong juga turut tersenarai di dalam kategori Sukan dan Hiburan.

Antara kategori lain Forbes ’30 Under 30 Asia’ adalah Seni (Seni dan Gaya, Makanan dan Minuman); Kewangan dan Modal Teroka; Media, Pemasaran dan Pengiklanan; Runcit E-Dagang; Teknologi Perusahaan; Industri, Pembuatan dan Tenaga; Penjagaan Kesihatan dan Sains; Usahawan Sosial dan Teknologi Pengguna. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas