Berita

Operasi Khas Bersepadu Pasar Borong Kuala Lumpur

||
- Diterbit 21 November 2019 10:06 AM MYT

Kuala Lumpur – Tujuh buah gerai di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini semalam disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Khas Bersepadu semalam.

Operasi yang dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM ), Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ ) dan Polis DiRaja Malaysia ( PDRM ) itu turut mengambil tindakan terhadap penjaja warga yang melakukan jualan tanpa lesen.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, selain tindakan ke atas penjaja warga asing, pihaknya turut menunda 10 buah kenderaan buruk yang tersadai di tempat awam serta kenderaan yang membuat halangan lalu lintas.

JIM menyemak dokumen perjalanan penjaja warga asing.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas 13 warga asing dan hasil semakan dokumen perjalanan, tiga daripadanya ditahan untuk tindakan lanjut JIM bagi kesalahan tiada dokumen perjalanan sah. Manakala JPJ mengeluarkan 21 notis tindakan pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan DBKL serta agensi yang terlibat,” kata kenyataan itu.

LORI antara kenderaan yang disita selepas didapati menghalang lalu lintas.

Kenyataan tersebut turut menyatakan, DBKL akan meneruskan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu daripada semasa ke semasa seperti yang dirancang sehingga penghujung tahun ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas