Berita

FRKL2.0: Membudayakan pengangkutan awam, gaya hidup aktif dan memperkasa wanita

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 11 Mac 2024 12:15 PM MYT

BERSEMPENA dengan Hari Wanita Antarabangsa 2024 baru-baru ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan usahasama Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganjurkan program Fit with Rapid KL 2.0 (FRKL2.0).

Selain mempromosi aktiviti fizikal di samping mendorong penggunaan pengangkutan awam, FRKL2.0 bertemakan seni mempertahankan diri turut menjurus kepada pemerkasaan wanita dengan menyuntik tips dan kemahiran sebagai lanjutan kepada kempen Anti-Gangguan Seksual (AGS).

Selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL, Prasarana sentiasa menitikberatkan keselamatan dan keselesaan semua penumpang, agar pengangkutan awam dapat dijadikan sebahagian daripada gaya hidup warga kota.

“Program FRKL2.0 ini merangkumi demonstrasi seni mempertahankan diri, sesi taklimat perlindungan diri wanita dan juga aktiviti fizikal Piloxing, satu senaman kecergasan dinamik oleh jurulatih bertauliah,” menurut Prasarana dalam kenyataan.

Program yang diadakan di Stesen MRT Kampung Batu itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah.

Program FRKL2.0 itu turut mendapat penyertaan dari kalangan pengguna pengangkutan awam dan pengikut media sosial Rapid KL, di samping kerjasama daripada Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRTC).

Untuk rekod Program Fit with Rapid KL adalah acara tahunan yang dianjurkan buat pertama kalinya tahun lepas dan menerima sambutan yang sangat positif daripada penumpang serta pengikut media sosial Rapid KL.

Program tahun ini turut mendapat tajaan syarikat minuman terkemuka tempatan Hausboom, dan jenama penjagaan kulit utama tempatan Superskin. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas