Utama

SKV palsu, DVS arah batal permohonan tiga ejen pengeksport anjing

AUSTRALIA mahu siasatan SKV dilakukan ke atas pengeskport anjing negara ini.- Gambar hiasan
- Diterbit 12 Februari 2020 8:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) diarah supaya menghentikan segala permohonan pengekportan dari tiga ejen yang dikenal pasti terlibat dalam kes pemalsuan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV).

Ketua Pengarah DVS, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, tindakan tersebut dikenakan selepas pihak Australia mengenal pasti beberapa ejen pengimport dari Australia dan ejen pengeksport di Malaysia yang terlibat untuk membawa anjing dari China melalui Malaysia tanpa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Ini kerana jelas beliau, pada 24 Januari lalu, Jabatan Pertanian, Air dan Persekitaran Australia meminta DVS membuat siasatan lanjut berhubung pemalsuan SKV selepas mengesyaki anjing yang diimport masuk ke Australia berasal dari China.

“Siasatan awal pihak Berkuasa Australia mendapati lima permohonan pengeksportan anjing dari Malaysia tidak menepati syarat dan disyaki berlaku satu kes pemalsuan SKV. Mereka juga mengesyaki anjing yang dieksport berasal dari China.

“Bagaimanapun, siasatan kita mendapati SKV yang dikeluarkan adalah asli dan anjing yang dieksport ke Australia adalah yang menetap di Pulau Pinang sejak Januari tahun lepas. Mengikut rekod, tiada pergerakan menunjukkan anjing tersebut keluar dan masuk dari China,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Quaza Nizamuddin, siasatan lanjut pihaknya juga mendapati daripada lima permohonan pengeksportan tersebut, DVS hanya mengeluarkan satu SKV namun, SKV tersebut tidak digunakan kerana anjing mati manakala baki empat permohonan yang lain masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, katanya, DVS dan MAQIS akan membuat siasatan lanjut terhadap kes pemalsuan sijil kesihatan veterinar untuk mengeksport anjing ke Australia, ejen yang tidak akur pada syarat pengeksportan Australia, Doktor Veterinar yang tidak mempunyai sijil amalan terkini dan Klinik Veterinar yang tidak berdaftar dengan Majlis Veterinar Malaysia.

Tambahnya, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Pertanian, Air dan Persekitaran Australia sebelum 28 Februari 2020. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas