Berita

FINAS Pandang Serius Isu Sindiket Pelacuran, Penggubahan Wang Haram

Pengerusi Finas,  Zakaria Abdul Hamid
- Diterbit 23 Oktober 2020 11:08 PM MYT

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memandang serius terhadap isu sindiket pelacuran dan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan golongan selebriti sejak akhir-akhir ini.

Menerusi satu kenyataan kepada media, pengerusi Finas,  Zakaria Abdul Hamid menasihatkan agar orang ramai tidak sewenang-wenangnya membuat pelbagai andaian yang boleh mencemarkan nama baik industri.

Pengerusi Finas,  Zakaria Abdul Hamid

“Finas mengingatkan semua pihak terutama pengguna laman sosial supaya tidak bertindak secara serkap jarang dalam membuat kenyataan yang boleh menjatuhkan reputasi dan kredibiliti warga seni.

“Sehubungan itu, Finas memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dalam membuat siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan sistem perundangan negara.

“Atas dasar keprihatinan, Finas sentiasa terbuka dan mengalu-alukan apa jua aduan serta pandangan daripada mana-mana organisasi dan individu bagi kebaikan industri kreatif negara,” katanya. 

Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan terdapat selebriti yang terlibat sebagai pelacur kelas atasan dibayar RM20,000 hingga RM40,000 untuk perkhidmatan satu malam bagi golongan VIP. 

Sebelum itu, SPRM juga mendedahkan aktiviti penggubahan wang haram yang turut mengaitkan beberapa selebriti tanah air.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan unit komunikasi korporat  di talian 03-79682182 atau emel ke [email protected]. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas