Berita

Ambil Komen Positif, “Ayah Gembira Berbakti Kepada Negara” – DAFI

|DAFI bangga dengan komitmen bapanya dalam berhadapan dengan COVID-19|AHLI keluarga penguat semangat Ismail Sabri
- Diterbit 23 Oktober 2020 9:00 AM MYT

SEMENJAK negara diserang pandemik COVID-19, tindakan efektif kerajaan Malaysia dalam menangani penularan wabak ini menjadi contoh kepada negara lain.

Walaupun akhir-akhir ini, kes kembali meningkat, namun keadaan kita semua masih terkawal jika dibandingkan dengan sesetengah negara maju lain. 

Di sebalik kejayaan ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,60, merupakan antara ‘hero’ hebat yang sering meniti di bibir rakyat. 

Pun begitu, dalam usaha memberi komitmen yang bersungguh-sungguh demi keselamatan rakyat, masih ada mulut yang tidak diam memberi komen negatif seperti tidak menghargai apa yang sudah beliau lakukan.

Buat itu salah. Buat ini tidak kena. Bercakap ini dikatakan tidak sesuai. Berkata begitu dicakap tidak peka.

Penyanyi dan pelakon, Dafi yang juga anak kepada Ismail Sabri menganggap ini adalah lumrah yang perlu dilalui oleh bapanya selaku seorang pemimpin.

“Semua orang ada pendapat sendiri. Saya hanya sokong dan memberikan semangat dalam apa yang ayah lakukan.

“Dalam melihat apa yang ayah lakukan, saya tidak meletakkan diri saya sebagai anak, tetapi sebagai rakyat Malaysia. 

“Bagi saya, apa sahaja pendapat orang atau warganet, ayah kena hadapi kerana itulah lumrah sebagai seorang yang dikenali ramai,” ujarnya kepada Wilayahku.

DAFI bangga dengan komitmen bapanya dalam berhadapan dengan COVID-19

Tambah Dafi, apa yang dilakukan Ismail Sabri setiap hari dalam mendepani COVID-19 mempunyai risiko yang besar.

“Sebagai anak dan ahli keluarga yang lain, kami tidak campur tangan dalam hal-hal berkaitan politik ayah, namun kami sentiasa ada untuk sama-sama menghadapi apa yang  dilalui.

“Kami hargai apa yang ayah lakukan dan jauh sekali mahu mengambil kesempatan terhadap jawatan beliau sebagai Menteri.

“Ahli politik dan menteri itu hanya ayah. Kami tetap seperti orang lain di luar sana yang menjalani kehidupan seharian dan berusaha untuk ekonomi diri,”kata Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri,32. 

Kata Dafi, warganet boleh berkata apa sahaja sesuka hati tetapi mereka tidak tahu bagaimana pengorbanan Ismail Sabri yang juga mempunyai keluarga.

“Sejak negara diserang pandemik COVID-19 pada Mac lalu sehingga sekarang, ayah minta semua rakyat duduk di rumah bagi mengekang virus ini, tapi beliau sendiri kena keluar rumah kerana mahu menyelesaikan masalah negara, padahal beliau juga ada keluarga yang perlu difikirkan. 

“Itulah antara pengorbanan ayah buat rakyat. Beliau memang sangat memberi komitmen dan gembira apabila dapat berbakti kepada negara,” ujarnya yang mengakui bukan mudah menangani wabak yang bahaya seperti inj.

“Bukan senang nak hadap COVID-19 ni. Ini kerana ini adalah pertama kali Malaysia dan seluruh dunia diserang wabak bahaya sebegini. Jadi, belum ada pengalaman yang boleh dijadikan sebagai rujukan.

“Malaysia adalah antara negara yang paling bagus dalam menangani COVID-19. Seperti yang kita tahu, terdapat negara lain yang seolah-olah mengalah dengan situasi ini.

” Iya.. Saya sendiri melihat  bagaimana ayah berusaha memerangi COVID-19 ini, saya tahu ia bukan perkara  mudah.

“Bukan senang nak kawal penularan virus ini, dalam masa yang sama mahu menjaga keselamatan rakyat. 

” Saya bangga dengan ayah,” kata Dafi lagu yang mengharapkan doa daripada orang ramai agar kita semua boleh menangani ‘musuh’  ini. 

AHLI keluarga penguat semangat Ismail Sabri

Ambil Komen Positif

Menurut bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musomke-5 ini, bapanua tidak pernah melenting dengan komen-komen kasar dan biadap warganet.

“Sebagai artis, saya sudah biasa dengan apa yang orang komen. Saya terima apa sahaja kritikan. 

” Begitu juga ayah yang sedar dengan kedudukannya sekarang, beliau tidak dapat lari dari komen-komen negatif sesetengah warganet.

“Beliau tidak pernah abaikan komen rakyat kerana beliau tahu setiap komen itu pasti ada mesej positif yang perlu beliau ambil serta fikirkan. 

“Walaupun kadang-kadang cara penyampaian komen itu agak kasar dan tiada budi bahasa, namun apa yang beliau ambil adalah input positif,” ujarnya yang memahami situasi ayah sebagai manusia biasa. 

Dalam masa yang sama, Dafi sedar kita tidak boleh menutup mulut orang daripada terus bercakap walaupun ada kalanya komen-komen yang dilontarkan boleh mencabar hati dan perasaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas