Selebriti

Filem Hutang 2D papar kisah masyarakat

|FLOOR 88 pertama kali muncul dalam filem|BABY Shima antara tarikan utama peminat untuk menonton filem Hutang 2D.|LAKONAN Black dipuji ramai||
- Diterbit 6 Ogos 2021 10:00 PM MYT

FILEM Hutang 2D sangat dekat di hati kerana kisah atau jalan cerita yang dipaparkan adalah benar-benar berlaku dalam masyarakat hari ini.

Tambahan pula dalam situasi pandemik COVID-19, ramai yang hidup susah sehingga menyebabkan mereka terpaksa berhutang atau menangguhkan bayaran hutang kerana faktor kewangan yang tidak mengizinkan.

Untuk itu, bersesuaian dengan mesej ini, Penerbit Eksekutif Filem Hutang 2D, Arie Zaharie mengangkat lagu Hutang dendangan Floor 88 untuk dijadikan judul filem terbaharunya.

FLOOR 88 pertama kali muncul dalam filem

Seperti yang kita semua tahu, lagu Hutang mendapat sambutan hebat di carta-carta radio dan mempunyai banyak tontonan di laman youtube sehingga menjadi siulan ramai.

“Memandangkan bait-bait lirik yang menggunakan gaya bahasa sarkastik dan membawa kisah tersendiri, jadi kami cuba mengembangkan elemen serta mesej lagu tersebut ke dalam sebuah penceritaan dan kemudian mempersembahkan dalam bentuk filem.

“Malah, pihak kami juga berusaha membawa kelainan menerusi Hutang 2D dengan menyajikan penonton dengan konsep menarik,” jelasnya yang memberi peluang kepada kumpulan Floor 88 untuk membuat kemunculan pertama dalam filem arahan Irwan Rauf dan Eric Fuzi yang juga anggota kumpulan ini.

BABY Shima antara tarikan utama peminat untuk menonton filem Hutang 2D.

Selain Eric, Floor 88 turut dianggotai oleh Ayie Elham, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah dan Amirul Afeeq.

Selain menampilkan ahli kumpulan Floor 88 selaku teraju utama, Hutang 2D yang mengangkat genre komedi, aksi dan fantasi ini juga menampilkan Baby Shima, Black Hanafiah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ropie, Altimet, Wafiy Ilhan dan Coki.

LAKONAN Black dipuji ramai

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan Hutang 2D adalah sebuah lagi filem terbaru di platform Astro First yang memperlihatkan bakat-bakat penyanyi tanah air menonjolkan bakat lakonan mereka.

“Lebih mengujakan, filem ini memaparkan sebuah kumpulan penyanyi popular Malaysia di samping mengetengahkan unsur komik digital dan fantasi.

“Kami yakin kemunculan Floor 88 dalam Hutang 2D mampu menarik minat penonton dan berharap filem ini dapat menghiburkan penonton dan terus kekal berada di rumah,” ujarnya.

 

Sinopsis filem Hutang 2D

Filem Hutang 2D mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie.

Ia membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima).

Pada masa sama, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gangster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan).

Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri. Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib.

Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan.

Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baru dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.

Hutang 2D yang diterbitkan Astro Shaw membawakan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios tersebut terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos Shaw baru-baru ini.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang . – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas