Selebriti

“Kali ini jodoh saya lelaki muda pula”, Adda pilih Ewal

|ADDA dan Ewal dijangkiti bernikah hujung tahun ini
- Diterbit 7 Ogos 2021 2:37 AM MYT

SOAL jodoh pertemuan itu adalah rahsia Allah. Walaupun pernah dua kali gagal dalam perkahwinan, Adda, 33, atau nama penuhnya, Nur Syuhada Baharuddin tidak pernah serik untuk berkahwin lagi.

Adda yang juga bekas vokalis kumpulan Butterfly mengesahkan akan melangsungkan pernikahan dengan penyanyi yang juga vokalis kumpulan Kristal, Ewal, 29, hujung tahun ini.

Kemesraan mereka sebagai pasangan kekasih mula mendapat perhatian apabila sering berkongsi gambar bersama termasuk membuat ‘cover’ bersama untuk dimuat naik ke YouTube.

“Mungkin sebelum ini jodoh saya dengan lelaki berusia dan berada. Tapi kali ini jodoh saya dengan lelaki muda pula. Kekayaan pun tak pernah menjanjikan kebahagiaan.

“Barangkali saya sudah puas mencuba itu ini. Namun saya akur jodoh saya dengan dua perkahwinan terdahulu tak panjang.

“Insya-Allah saya dan Ewal memang merancang melangsungkan pernikahan hujung tahun ini. Semuanya masih dalam perbincangan,” katanya.

ADDA dan Ewal dijangkiti bernikah hujung tahun ini

Adda yang juga adik kepada Rodi Kristal sebelum ini pernah dua kali berkahwin namun berakhir dengan penceraian. Menerusi perkahwinan kedua, Adda dikurniakan sepasang cahaya mata, Tisha Deandra, 7, dan Aydan Zafarel, 6.

Adda menambah, dengan situasi semasa pandemik COVID-19, dia dan Ewal tidak mampu menebak apakah majlis boleh berlangsung secara fizikal atau dalam talian.

“Perjalanan menuju ke hujung tahun ini pun kita takkan tahu macam macam boleh berlaku.

“Macam hal pelamin insya-Allah akan diuruskan Ari Wedding. Baju pula dari Azura Couture,” katanya.

Adda berkata, mereka sudah kenal sejak 15 tahun lalu.

“Tapi hubungan kami selama ini atas paksi kakak dan adik. Kami kenal baik dengan keluarga masing masing. Hubungan itu terus terjalin walaupun tak berjumpa.

“Dijadikan cerita kami rapat balik bila sama sama buat ‘cover’ sejak Jun lalu. Tak sangka pula kali ini ‘terjebak’ boleh sampai ada perasaan biarpun masih baru jarak berkenaan,” katanya yang menyifatkan Ewal seorang lelaki yang hormat orang, berkeyakinan tinggi, penyabar, lemah lembut, matang dan menerima diri serta anak-anaknya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas