Selebriti

Siti Sarah selamat lahirkan bayi lelaki, namun masih kritikal

|
- Diterbit 6 Ogos 2021 10:13 AM MYT

PENYANYI Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelakinya kira-kira pukul 5 petang tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur.

Menurut pengurusnya Nana Mohd Rom, Sarah walaubagaimanapun masih belum sedar setelah ditidurkan kerana tahap oksigen yang tidak stabil.

“Untuk makluman Siti Sarah Raissuddin telah selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 5 petang tadi. Walau bagaimanapun keadaan Sarah masih belum sedar. Mohon doa semua untuk dipermudahkan segala urusan,”katanya kepada media.

Sebelum melahirkan bayinya, Sarah terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), di hospital yang sama berikutan tahap oksigen tidak stabil.

Sementara itu, suaminya Shuib memohon orang ramai agar mendoakan Sarah yang masih dalam keadaan kritikal.

“Alhamdulillah pukul empat lebih baby telah pun berjaya dikeluarkan dan keadaan baby baik tapi perlukan alat bantuan pernafasan kerana lahir pra matang.

“Cuma keadaan Sarah agak kritikal. Saya sekeluarga mohon semua teruskan doa untuke Siti Sarah,” tulisnya di Instagramnya.

Shuib juga mengajak orang ramai mendoakan kesembuhan sesiapa sahaja yang sedang bertarung nyawa kerana COVID-19.

Pada petang tadi, telah diadakan bacaan yasin dan doa selamat untuk Siti Sarah secara maya dianjurkan pada jam 12.30 tengah hari tadi, dipimpin Imam Muda Asyraf.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya, suami dan tiga cahaya mata positif COVID-19.

Siti Sarah dan keluarga mengambil ujian saringan COVID-19 selepas pembantu rumah disahkan dijangkiti virus berkenaan, pada 25 Julai lalu.

Siti Sarah dikejarkan ke hospital Rabu lalu selepas batuk dan mengadu tidak selesa berikutan tahap oksigen yang menurun.

Siti Sarah sepatutnya memotong gelang pada hari sama dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, Shuib bersama tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan negatif selepas kuarantin 14 hari. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas