Berita

Feri penumpang, bot laju dari Labuan dihentikan

- Diterbit 23 Mac 2020 5:24 PM MYT

LABUAN – Perkhidmatan pengangkutan awam laut iaitu feri penumpang dan bot laju ke Sabah dan Sarawak dari Labuan dihentikan hari ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 31 Mac.

Penumpang yang merancang untuk ke Kota Kinabalu, Menumbok dan Sipitang di Sabah serta Limbang dan Lawas di Sarawak melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan diingatkan agar mengikuti feri kenderaan (feri Ro-Ro).

Jadual pelayaran feri kenderaan juga dikurangkan kepada satu trip untuk empat feri yang beroperasi dari Labuan – Menumbok – Labuan berbanding tiga trip sebelum ini.

Arahan terbaru itu dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia Labuan kepada pengusaha feri Jutabonus Development Sdn. Bhd. yang mengendalikan Feri Galaxy dan Labuan Mainland Link Sdn. Bhd. dengan tiga ferinya iaitu Kimanis 1, Putrajaya 1 dan Goodwill Star.

Pengarahnya, Benjamin Bernard Bijion berkata, penjadualan pergerakan feri dan penghentian perkhidmatan pengangkutan laut penumpang adalah selaras dengan PKP yang bermula 18 hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, arahan penjadualan pelayaran itu telah dibincangkan dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta LDA Holding.

“Kesemua operator feri dikehendaki mengikut jadual pelayaran baharu ini bermula esok (24 Mac),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas