Berita

Pusat pengumpulan DBKL mula terima sumbangan orang ramai

PUSAT pengumpulan bantuan di DBKL Jalan Tun Razak mula terima bantuan.
- Diterbit 24 Mac 2020 5:13 AM MYT

KUALA LUMPUR- Pusat pengumpulan barangan sumbangan yang berpusat di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tun Razak di sini mula menerima sumbangan daripada orang ramai sejak dilancarkan dua hari lalu.

Antara barangan yang disumbangkan adalah air mineral, barangan makanan, alat pelindung diri seperti topeng muka dan cecair nyah kuman untuk petugas yang terlibat dalam operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan untuk kekang Covid-19.

Selain itu, DBKL turut menyediakan akaun kepada penderma yang ingin menyumbang wang tunai di atas nama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerusi Bank Muamalat (14060004581714).

Ahad lalu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKKN WP) yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa telah menetapkan sumbangan tersebut untuk digunakan kira-kira 5,000 petugas barisan hadapan yang bekerja mengikut tiga syif.

Petugas tersebut terdiri daripada 1,500 anggota polis, 1,413 (Angkatan Tentera Malaysia), 1,500 (penguat kuasa DBKL) dan bakinya adalah daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA), doktor serta jururawat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas