Berita

Tren, bas Rapid KL terhadkan operasi

TREN Rapid KL seperti LRT, MRT dan Monorail akan beroperasi secara terhad mulai hari ini hingga 31 Mac. Foto Facebook Rapid KL
- Diterbit 23 Mac 2020 5:01 PM MYT

(Kemas kini tarikh bermula operasi terhad 25 Mac 2020)

KUALA LUMPUR – Ekoran arahan terbaru kerajaan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) akan melaksanakan perkhidmatan pengangkutan awam terhad bermula Rabu ini (25 Mac 2020) hingga 31 Mac ini.

Prasarana dalam kenyataannya berkata, semua perkhidmatan tren Rapid KL meliputi LRT, MRT dan Monorail beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi sebelum berhenti dan berjalan semula dari pukul 5 petang hingga 10 malam.

“Perkhidmatan tren tidak akan beroperasi antara pukul 10 pagi hingga 5 petang.

“Tren terakhir akan menamatkan perkhidmatannya pada pukul 10 malam dan semua stesen akan ditutup,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan tersebut memberitahu, semua perkhidmatan bas henti-henti – Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Kamunting and Rapid Manjung juga akan beroperasi dari pukul 6 hingga 10 pagi sebelum berhenti dan disambung kembali dari pukul 5 petang hingga 10 malam.

Kata kenyataan itu, pelanggan sedia ada boleh merujuk kepada laman web myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk manakala pengguna Rapid Penang boleh membuat turun aplikasi Rapid Penang Journey Planner dari  Google Play.

Dalam pada itu, kata Prasarana, Feri Pulau Pinang yang dikenalikan oleh Rapid Ferry, akan beroperasi dengan sebuah feri dari pukul 6 hingga 10 pagi dan pukul 5 petang hingga 10 malam.

“Prasarana menasihatkan kepada orang ramai seperti mereka yang bekerja dalam sektor penting dan mahu menggunakan  perkhidmatan tersebut perlu membuat perancangan perjalanan atau mencari pengangkutan alternatif.

“Orang lain pula perlu mematuhi arahan kerajaan agar duduk di rumah,” katanya.

Bagi mengetahui secara terperinci dan sebarang perkembangan terkini, sila kunjungi jaringan media sosial Rapid KL Facebook @myrapid, Twitter atau Instagram @myrapidkl.

Berikut jadual perkhidmatan tren berkenaan:

Isnin – Jumaat

6.00 am – 7.00 am: 30 minit (kekerapan)

7.00 am – 9.00 am: 10 minit

9.00 am – 10.00 am: 30 minit

5.00 pm – 7.00 pm: 10 minit

7.00 pm – 10.00 pm: 30 minit

Sabtu, Ahad dan cuti umum

6.00 am – 10.00 am: 30 minit

5.00 pm – 10.00 pm: 30 minit

WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas