Personaliti

Farha bangga tinggal di Kuala Lumpur

- Diterbit 24 Januari 2020 1:53 AM MYT

LIMA tahun tinggal di Kuala Lumpur banyak mengajar erti kehidupan buat Nur Farha Abdul Razak yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Anak kedua daripada lima orang adik-beradik ini tekad mencari rezeki di Kuala Lumpur setelah tamat pengajian dalam bidang Pengajian Sumber Manusia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka.

Ketika itu, dia sanggup berjauhan daripada keluarga tercinta semata-mata untuk membina kerjaya di bandar raya yang menjanjikan pelbagai pilihan kerja ini.

“Masa itu dalam fikiran saya cuma satu iaitu ingin cepat mendapat kerja dan seterusnya hidup berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada keluarga semata-mata,” ujarnya.

Ditanya tentang Hari Wilayah Persekutuan yang bakal disambut warga Wilayah Persekutuan pada 1 Febuari nanti, sebagai individu yang bermastautin di Kuala Lumpur, Farha bangga kerana berpeluang mengecapi pelbagai kemudahan yang ada.

“Saya masih ingat lagi ketika mula-mula membina kerjaya di sini, saya bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan sebagainya.

“Bayangkan jika tiada semua itu sudah pasti menyukarkan saya untuk bergerak ke sana sini. Biarpun sekarang saya sudah memiliki kenderaan sendiri, pasti ada ketikanya saya tetap menaiki pengangkutan awam,” ujarnya yang kini menetap di Sungai Besi.

Tambah Farha, di Kuala Lumpur semuanya mudah diperoleh dan kerana itu jugalah dia mengambil keputusan untuk terus menetap di ibu kota untuk jangka masa yang panjang.

Beralih kepada impiannya pula, menurut model berusia 27 tahun ini, dia berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan fesyen dengan membuka sebuah butik pakaian.

‘‘Sekarang saya sedang menimba ilmu tentang bidang perniagaan. Apabila sudah penuh ilmu di dada, Insya-Allah saya akan merealisasikan impian tersebut,” ujarnya mengakhiri bicara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas