Biz

Ramly Food sasar RM1.2 bilion

AZMIN (dua dari kanan) menyampaikan plak pengiktirafan kepada Ramly pada Majlis IDTF Bank Pembangunan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini
- Diterbit 26 Januari 2020 2:18 PM MYT

KUALA LUMPUR – Ramly Food Processing Sdn. Bhd. yang terkenal dengan pengeluaran daging sejuk beku dan burger menyasarkan peningkatan pendapatan kepada RM1.2 bilion pada tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramly Mokni berkata, pe­ningkatan sebanyak 20 pe­ratus berbanding tahun lalu disumbangkan daripada ope­rasi kemudahan baharunya di Selangor Halal Hub, Pulau Indah, Selangor yang mampu menambahkan kapasiti pengeluaran yang dijangka pada Jun ini.

Beliau berkata, kemudahan berprestasi tinggi terbesar di rantau ini bakal menghasil produk burger, sosej, nugget dan bebola dengan lebih pantas pada kadar lima tan satu jam berbanding sejam bagi satu tan pada masa ini.

“Sebagai permulaan kami bakal melabur RM500 juta untuk mewujudkan keupayaan empat jalur pengeluaran manakala pelaburan tambahan sehingga RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun lagi untuk menambah dua jalur penge­luaran lagi.

“Untuk peringkat awal, kita akan mengeluarkan produk tersebut bagi pasaran tempatan dan eksport kerana bekalan yang lebih banyak dan kilang sudah mencapai kapasiti maksimum,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis Dana Tranformasi Pendigitalan Industri (IDTF) Bank Pembangunan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kumpulan Ramly menjadi penerima pertama dana IDTF yang bertujuan merancakkan industri dalam menerapkan teknologi pintar.

Hadir sama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd., Datuk Zaiton Mohd. Hassan dan Pengarah Eksekutif Ramly Food Industries, Datin Shala Siah Abdul Manap.

Ramly memberitahu, kilang baharu tersebut didirikan di atas tapak seluas 2.27 hektar di bawah IDTF.
Dalam pada itu, Ramly berkata, buat masa ini kira-kira 70 peratus pengeluaran kilang­nya adalah untuk pasaran tempatan manakala 30 peratus lagi untuk pasaran eksport.

Tambah beliau, pihaknya juga mahu mengukuhkan je­nama dengan meningkatkan rangkaian Ramly Halal Mart dan Ramly Halal Kiosk.

“Sehingga kini, terdapat kira-kira 16 buah kedai Ramly Halal Mart dan 12 kedai Ramly Halal Kiosk. Kami merancang menambahkan lagi kepada 450 rangkaian kedai dan kiosk pada tahun ini.

“Selain itu, pada ini terdapat 25,000 hingga 30,000 usahawan gerai burger kami dan selepas ini kami menyasarkan untuk menambah hingga 100,000 usahawan gerai burger,” kata­nya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas