Selebriti

Fara Hazel terima ‘syarat’ ibu mertua

AURA kebahagiaan jelas terpancar pada wajahnya.
- Diterbit 14 Februari 2020 5:50 AM MYT

BARU sahaja mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta penghujung tahun lalu, penyanyi Fara Hazel, 24, mengakui sudah menerima syarat daripada ibu mertua yang menginginkan empat orang cucu.

Menyambut baik cadangan ibu mertuanya itu, anak sulung daripada sebelas orang adik-beradik ini berkata dia juga mengharapkan perkara yang sama kerana sudah terbiasa dengan keluarga yang besar.

“Pasti rasa sunyi jika anak tak ramai sebab selama ini rumah saya riuh dengan suara kami adik-beradik. Lagi pula cahaya mata merupakan penyeri rumah tangga,” ujarnya.

Katanya lagi, dek kerana itulah dia mengambil keputusan untuk berkahwin ketika usia muda kerana dia dan suami, Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin, 25, boleh merancang untuk mendapatkan cahaya mata lebih awal.

“Suami pula hanya mempunyai tiga orang adik-beradik sahaja, jadi apabila dia datang ke rumah saya, dia seronok melihat keletah adik-adik yang bermacam ragam. Secara tidak langsung itu yang membuatkan kami nekad untuk berkahwin awal,” katanya.

Pun begitu, menurut kakak kepada penyanyi Aiman Tino ini, bukan kuantiti yang dikejar tetapi seboleh-bolehnya jika dikurniakan cahaya mata biarlah mereka memiliki kualiti yang didambakan oleh ibu bapa.

“Saya suka melihat contoh kedua ibu bapa saya. Perkahwinan mereka seawal usia 20-an bukan sahaja memudahkan perjalanan hidup mereka ketika tua, bahkan di usia pertengahan 40-an, saya sudah pun dewasa dan menyara kehidupan mereka pula,” ujarnya.

Rancak bercerita perihal rumahtangganya, Fara tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk berbulan madu dengan menaiki kapal persiaran mewah bersama suami tidak lama lagi.

“Kami masih menanti tarikh memandangkan kapal tersebut penuh namun Insya-Allah selewat-lewatnya dalam bulan hadapan impian kami berdua akan tercapai,” ujarnya gembira.

Bapa hadiahkan lagu

Bercerita tentang perkembangan seninya pula, wanita jelita ini bertuah kerana dikurniakan suami yang pandai menyanyi dan merupakan seorang penyanyi di Kuala Terengganu.

“Sekurang-kurangnya dia juga faham selok-belok bidang seni jadi sedikit sebanyak ia memudahkan kami untuk berkongsi idea tentang dunia muzik. Itu yang membuatkan saya bersyukur,” ujarnya.

Katanya lagi, bapanya Yusri Ishak yang merupakan seorang pencipta lagu turut menghadiahkan mereka sebuah single yang bakal dilancarkan tidak berapa lama lagi.

“Saya akan berduet bersama suami untuk single terbaharu tersebut. Tak sabar rasanya untuk memperdengarkan buah tangan yang juga merupakan suara hati kami berdua kepada peminat,” ujar Fara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas