Selera

Ambuyat, hidangan pelik tetapi sedap

WARUNG DB yang terletak di Kampung Lada Juta.
- Diterbit 13 Februari 2020 9:20 AM MYT

DIPERBUAT daripada batang bagian dalam pokok sagu, ambuyat merupakan makanan tradisional utama di Labuan yang amat menyelerakan.

Malah, cara untuk menikmatinya juga agak pelik kerana ia tidak boleh dikunyah sebaliknya perlu terus ditelan bagi mengelakkannya lebih liat dan sukar dimakan.

Merupakan tepung sagu yang dibancuh pekat, ambuyat yang dicedok menggunakan candas atau kayu sepit kemudiannya dicecah pula dengan kuah ikan rebus yang dimasak bersama campuran cili dan belacan atau air asam sebelum terus ditelan.

Lebih menyelerakan apabila hidangan warisan itu dimakan bersama ikan bakar, sambal
dan kangkung tumis belacan yang disediakan sebagai lauk sampingan. Air bandung sejuk
yang dinikmati bersama pastinya menambahkan rasa segar.

AMBUYAT dihidangkan bersama pelbagai jenis lauk.

Menurut tukang masak Warung DB Lada Juta, Md. Ajwan Abd. Ariham, cara untuk menyediakan ambuyat juga sangat mudah.

“Ambuyat adalah tepung sagu yang dibancuh menggunakan air panas dan dikacau sehingga menjadi pekat.

“Cara penyediaannya juga sama di semua tempat di Borneo termasuk Brunei. Bezanya adalah cecah, yang mana orang Borneo akan menggunakan jeruk bambangan manakala
Labuan menggunakan air asam jawa.

“Sayur yang dimakan bersama juga tidak berubah, sama ada paya kampung atau paku pakis,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Merupakan menu utama di Warung DB Lada Juta, ambuyat yang disediakan di situ dihidangkan dalam bentuk set iaitu Set Tangah Bini dan Set Tangah Laki.

Ekoran itu, restoran yang mula dibuka pada 2014, sering menjadi tumpuan pelancong yang ingin merasai makanan tradisional Labuan seperti ambuyat.

Md. Ajwan juga menyatakan, ambuyat akan disediakan pada bila-bila masa mengikut permintaan pelanggan.

ANTARA set Ambuyat yang disediakan
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas