Biz

Kad debit-i Tabung Haji Visa, kemudahan tanpa tunai jemaah haji

MUJAHID (dua dari kiri), Nik Mohd. Hasyudeen (kiri), Mohd. Muazzam dan Mandy menunjukkan replika kad debit-i Bank IslamTabung Haji Visa pada majlis pelancaran kad tersebut di Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 14 Februari 2020 6:04 AM MYT

PUTRAJAYA – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) melancarkan kad debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji melalui usaha sama strategik dengan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Visa dengan menawarkan pelbagai keistimewaan terutamanya bagi jemaah haji.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, perkongsian itu adalah sejajar dengan strategi pihaknya untuk menjalin hubungan jangka panjang bersama rakan niaga terkemuka bagi menawarkan penyelesaian pembayaran tanpa tunai dan nilai tambah kepada pelanggan.

“Keistimewaan kad debit ini adalah kad biorosot (biodegredable) pertama yang digunakan di Malaysia dan diperbuat daripada politetilena tereftalat (PET) berkualiti tinggi dan boleh dikitar semula serta menjadikannya kad mesra alam pertama.

“Kad ini juga boleh memudahkan pelanggan untuk membuat pembayaran di lebih 60 juta lokasi niaga dan mendapatkan tunai dengan menggunakan 2.5 juta mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh dunia termasuk di Arab Saudi,” katanya pada Majlis Pelancaran Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji di sini baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa. Hadir sama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff; Pengurus Negara Kumpulan Rantau Asia Tenggara Visa, Mandy Lamb dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Mohd. Muazzam berkata, bagi mengaktifkan kad debit itu, pelanggan perlu membuka akaun Bank Islam dan memohon kad debit dengan caj RM13 untuk pemprosesan.

“Pendeposit TH perlu mengakses akaun masing-masing dengan menghubungkan bersama kad debit dan perlu memindahkan dana yang diperlukan daripada akaun simpanan mereka ke Bank Islam,” katanya.

Ujar Mohd. Muazzam lagi, pihakya menyasarkan 100,000 pemegang kad debit itu dalam tempoh setahun dengan pelanggan layak menikmati keistimewaan yang khusus.

“Dengan keistimewaan ditawarkan seperti pengecualian fi pengeluaran tunai di Arab Saudi semasa musim haji, kadar tambang istimewa bagi perkhidmatan KLIA Ekspress dan pelbagai diskaun lain.

“Melihat kepada potensi pasaran yang memberangsangkankan, Bank Islam yakin dapat mencapai sasaran itu,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas