Biz

Famous Shukulate’ sasar jualan RM200,000 tahun hadapan

NORUL HUDA menunjukkan produk biskut Famous Shukulate’ ketika ditemui di kedainya di Plaza Prima Setapak, Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini. Gambar - NAZIRUL ROSELAN
NORUL HUDA menunjukkan produk biskut Famous Shukulate’ ketika ditemui di kedainya di Plaza Prima Setapak, Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini. Gambar - NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 2 Julai 2019 12:06 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Syarikat pengeluar biskut tempatan, Famous Shukulate’ fokus untuk mendapatkan sijil halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membolehkan produknya menembusi pasaran di beberapa buah negara Asia Barat pada penghujung tahun ini.

Pengusahanya, Norul Huda Abd. Hadi berkata, pada masa ini, eksport ke negara luar seperti Perancis, Amerika Syarikat, Belanda dan Arab Saudi dilakukan dalam kuantiti yang sedikit dengan dilakukan oleh 25 ejen serta kenalan rapat berikutan tidak mempunyai sijil halal.

Ujar beliau, dengan adanya sijil berkenaan, produk yang dihasilkan dapat dieksport dalam kuantiti yang banyak dengan menggunakan perkhidmatan kargo sekali gus membolehkannya mencapai sasaran hasil jualan sebanyak RM200,000 pada tahun hadapan.

Katanya, sehingga Jun tahun ini, syarikatnya memperoleh pendapatan sebanyak RM50,000 hasil jualan di dalam dan luar negara.

“Selepas mendapatkan sijil halal, saya menyasarkan 10,000 paket dieksport ke sekitar Eropah pada penghujung tahun ini.

“Pada masa ini, produk berkenaan tidak dapat dieksport dalam kuantiti yang banyak kerana tidak mempunyai sijil halal malah Arab Saudi juga tidak membenarkan sebarangan produk masuk ke negara tersebut tanpa logo halal,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas