Selebriti

Fahrin Ahmad makin serius berniaga

FAHRIN KERIABALLZ
PRODUK Keriaballz yang diusahakan oleh Fahrin dapat permintaan tinggi.
- Diterbit 18 Ogos 2019 4:28 AM MYT

DUNIA perniagaan hari ini bukan sahaja dipelopori oleh ahli perniagaan bahkan beberapa tahun kebelakangan ini golongan selebriti juga tidak terlepas daripada mencuba nasib dalam bidang tersebut.

Bersedia menghadapi cabaran, aktor dan pengacara kacak, Fahrin Ahmad, 38, tidak terkecuali mengambil peluang untuk menceburi bidang perniagaan. Menariknya pelakon kelahiran Johor Bahru ini mempertaruhkan produk makanan, Keriaballz.

Mengakui ia hanya sampingan, namun dia sejujurnya tidak menyangka percubaan kali pertama menyertai ekspo jualan di Singapura hujung Julai lalu berhasil apabila dia mampu menjual 25,000 biji Keriaballz dalam tempoh tiga hari sahaja.

“Alhamdulillah satu permintaan yang sangat menggalakkan. Pada mulanya saya hanya menyuarakan pada rakan kongsi untuk menceburi perniagaan makanan tetapi tak sangka ramai yang menyukai kuih tersebut.

“Selepas mendapat sambutan di luar jangkaan di Singapura, Keriaballz turut mendapat permintaan daripada peminat di Malaysia pula. Hujung minggu lalu, hampir 4,000 biji telah diedarkan di seluruh Kuala Lumpur,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang bisnes kuihnya itu, buat masa ini dia hanya mengambil tempahan awal (pre order) kerana ingin mengawal tahap kelazatan serta kesegaran kuih tersebut sebelum dihantar kepada pelanggan.

“Saya sentiasa berpesan kepada team bahawa kualiti itu lebih penting daripada kuantiti yang berjaya dijual. Kebiasaannya kami akan menghantar kuih yang baru sahaja diangkat daripada kuali,” ujarnya yang menjalankan khidmat penghantaran terus ke rumah pelanggan.

Tidak menafikan populariti turut membantu dalam perniagaan, pelakon filem Pilot Cafe ini tidak mahu mempergunakan platform tersebut hanya untuk meraih keuntungan semata-mata. Baginya, setiap perniagaan pasti mempunyai risiko.

“Memang ia merupakan satu kelebihan namun saya tidak mahu menyalahgunakan kesempatan tersebut. Bukan itu sahaja, dalam masa yang sama, saya turut menyeru kepada selebriti lain untuk mempersembahkan produk yang terbaik kepada pelanggan,” ujarnya.

Enggan mengharapkan bidang seni semata-mata, dia juga sedia maklum populariti tidak selamanya akan berpihak kepadanya. Lantas tanpa membuang masa, dia ingin mengambil peluang untuk bergiat serius dalam perniagaan ini.

Watak aksi

Lebih 10 tahun dalam bidang lakonan, Fahrin mengakui pelbagai watak telah berjaya dibawa olehnya sepanjang bergelar pelakon.

Pun begitu, dia turut mendapat permintaan daripada peminat untuk melakukan watak aksi.

“Saya terbuka untuk membawa watak apa sekalipun yang pasti apabila mereka menyuarakan hal tersebut, saya rasa tidak mustahil untuk melakonkannya andai mendapat tawaran. Paling penting mesej yang ingin disampaikan berjaya,” ujarnya.

Tambah pelakon Puaka Tebing Biru ini lagi, dia kini lebih selektif dalam pemilihan naskhah. Bukan kerana sombong tetapi ingin memastikan dirinya terlibat dalam naskah yang berbeza daripada sebelumnya.

“Berbanding sebelum ini, kini saya lebih banyak terlibat dalam bidang pengacaraan berbanding lakonan. Biarpun tawaran berlakon tidak pernah surut namun saya akan mempersetujui andai skrip tersebut bersesuaian,” ujar bapa kepada seorang cahaya mata ini.

Menyentuh tentang perkembangan terbarunya, pengacara program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) ini sedang sibuk dengan penggambaran drama 30 episod berjudul Sara Sajeeda selain terlibat dengan drama bersiri Ombak Rindu.

Selepas mendapat sambutan di luar jangkaan di Singapura, Keriaballz turut mendapat permintaan daripada peminat di Malaysia pula.

Hujung minggu lalu, hampir 4,000 biji telah diedarkan di seluruh Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas