Berita

Fahmi harap sambutan Tahun Baharu Cina bawa limpahan kebahagiaan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 9 Februari 2024 6:55 PM MYT

MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Cina dan berharap sambutan kali ini akan dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan.

“Semoga Tahun Naga ini membawa banyak peluang dan kekayaan sepanjang perjalanan dan semoga kehidupan anda dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan.

“Selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada semua rakan yang meraikannya dan saya doakan anda dan orang tersayang sentiasa sihat, bahagia, sejahtera dan panjang umur,” kata Fahmi dalam Facebooknya hari ini.

Perayaan Tahun Baharu Cina bermula esok sempena sambutan Tahun Naga.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dalam catatan Facebooknya berharap Tahun Naga akan membawa kejayaan yang melimpah, kemakmuran dan tuah kepada semua.

“Ketika kami mengucapkan selamat tinggal kepada yang lama dan menerima yang baru, saya ingin menyampaikan ucapan ikhlas buat semua sempena sambutan Tahun Baharu yang meriah ini,” katanya.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pula berharap sambutan Tahun Baharu Cina akan dimeriahkan dengan suasana dan tradisi kunjung-mengunjung jiran tetangga sekali gus meningkatkan semangat kebersamaan antara rakyat.

“Semoga tahun baharu ini membuka rahmat yang lebih baik untuk negara,” katanya dalam hantaran di Facebook. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas