Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
KUALA LUMPUR – Pilihan tunai serta pemilikan unit rumah antara empat tawaran daripada kerajaan kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang bertujuan untuk perancangan pembangunan semula segi tiga emas itu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, selain pilihan tawaran tunai dan unit rumah, kerajaan juga menawarkan pilihan tunai, pemilikan unit rumah dan pulangan pemegang saham dalam projek-projek pembangunan di Kampung Baru.
“Perancangan yang disusun dalam pembangunan semula ini merangkumi projek-projek yang bakal membawa kampung warisan Melayu dikenali ramai sama ada di dalam dan luar negara.
“Fokus pembangunan yang dirancang akan meliputi 70 peratus projek perumahan dan 30 peratus pembangunan komersial manakala 50 peratus daripada unit kediaman yang bakal dibina adalah perumahan mampu milik. Ia bertujuan membolehkan orang Melayu membeli dan memiliki hartanah di Kampung Baru,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi TownHall yang sedang diadakan hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun; Pengerusi Perbadanan Kampung Baru (PKB), Tan Sri Ambrin Buang; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kampong Bharu (PKB) Zulkurnain Hassan.
Dalam sesi itu juga, pemilik serta waris berpeluang mengajukan beberapa soalan kepada Khalid antaranya akur janji kerajaan untuk bangunkan Kampung Baru, tawaran harga, tempoh bayaran serta kelonggaran pemilikan bagi membolehkan harga pasaran tanah dinaikka. – WILAYAHKU
