Berita

3 suspek samun, tikam mati pekerja kedai serbaneka ditahan

RAKAMAN CCTV menunjukkan salah seorang suspek (kanan) cuba menyamun sebelum pekerja kedai serbaneka di Damansara Jaya maut di tikam, Sabtu lalu. Foto RMP TV Channel
- Diterbit 2 Mac 2020 12:57 PM MYT

SHAH ALAM – Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun menyebabkan kematian seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam di Damansara Jaya, Petaling Jaya pada Sabtu lalu berjaya diberkas hari ini.

Kesemua suspek berusia 30 hingga 38 tahun itu ditahan di sekitar Damansara Damai dan Puchong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad berkata, dua daripada suspek berjaya ditangkap pada pukul 2.30 pagi.

Kata beliau, kedua- dua suspek  mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki dalam beberapa kes.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza yg dilaporkan telah disamun di Kepong pada penghujung Januari lalu.

“Susulan itu, kita kemudiannya menahan seorang lagi rakan suspek pada pukul 5.15 pagi di Puchong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Fadzil, ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian samun pada pukul 11.50 malam, Sabtu lalu, seorang pekerja lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun maut ditikam kumpulan suspek itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas