Berita

EMPAT FILEM AKSI BADAN BERUNIFORM

|||||
- Diterbit 27 Jun 2021 2:00 AM MYT

KETENANGAN dan keamanan yang kita nikmati ketika ini perlu disyukuri kerana di setiap negara yang tidak bergolak ini terdapat pasukan yang bertungkus lumus menjaga sempadan negara daripada diserang musuh.
Setiap negara pastinya mempunyai Special Forces bagi menghadapi situasi tertentu. Mereka merupakan barisan hadapan keselamatan negara dan pastinya setiap misi mereka adalah memastikan keamanan negara mereka tidak akan tergugat dan tidak mengorbankan nyawa sesiapapun. Namun, setiap perjuangan memerlukan pengorbanan untuk mengecapi keamanan.
Barisan hadapan menjadikan nyawa mereka sentiasa dalam bahaya. Meninggalkan ibu, ayah dan ahli keluarga untuk setiap misi pastinya bukan mudah namun sikap juang yang tinggi membuatkan mereka memilih kerjaya ini.
Edisi kali ini, Wilayahku ingin mengajak pembaca untuk menonton filem mengenai perjuangan badan beruniform yang tidak pernah ditunjukkan oleh pihak media. Semoga filem ini dapat membuka mata rakyat Malaysia untuk lebih menghargai setiap badan beruniform.

#1 Special Forces

Pengarah: Stephane Rybojad
Pelakon: Djimon Hounsou, Diane Kruger, Denis Menochet

KISAH ini bermula ketika seorang wartawan wanita Perancis, Elsa Casanova bekerja di Kabul, Afghanistan menemu bual Maina, seorang wanita Afghanistan yang dijual kepada pemungut hutang. Dia adalah salah satu mangsa kehidupan yang kejam di Afghanistan di bawah rejim Taliban. Sesi temubual Maina bertukar tragedi apabila Maina akan dibunuh oleh Zaef, pemimpin Taliban. Namun, Elsa berkeras mahu menyelamatkan Maina meskipun dilarang keras oleh salah seorang pembantu rumahnya mengakibatkan mereka berdua ditangkap. Dalam karya kewartawanannya, Elsa memanggil Zaef sebagai tukang daging dan musuh terburuk wanita Afghanistan yang menimbulkan kemarahan Zaef. Tetapi ketika belati itu berada di leher Elsa. Pemimpin Taliban berubah fikiran. Sebaliknya, Elsa harus menyaksikan pembunuhan Saleymani, salah seorang pemberi maklumatnya. Video tersebut dihantar ke Perancis membuatkan Perancis menghantar pasukan khas yang digelar Special Forces untuk menjalankan misi menyelamat dengan kekuatan anggota seramai enam orang sahaja. Turut mempunyai unsur dramatik apabila Djimon Hounsou sebagai seorang ketua pasukan yang berwibawa dan kuat namun rebah apabila melihat sahabatnya, Lukas tewas di medan peperangan.

#2 12 Strong

Pengarah: Nicolai Fuglsig
Pelakon: Chris Hemsworth, Michael Shannon, Navid Negahban

JUGA dikenali sebagai 12 Strong: The Declassified True Story of the Horse Soldiers adalah sebuah filem drama aksi sejarah mengenai Pasukan Khas Tentera AS yang dihantar ke Afghanistan sejurus selepas serangan 11 September. Kapten Mitch Nelson sedang bercuti dan menghabiskan waktu bersama anak serta isterinya ketika tragedi 11 September 2001 berlaku. Tragedi tersebut membuatkan Nelson menawarkan diri untuk memimpin 595 orang ke Afghanistan. Bersama 11 anggota pasukannya, Mitch segera berangkat ke Afghanistan sebagai pasukan khas rahsia Green Berets. Di negara itu, Mitch harus meyakinkan pemimpin pakatan utara, Jeneral Dostum, untuk bersatu menentang Taliban. Apabila Dostum akhirnya bersetuju untuk bekerjasama, Mitch dan rakan-rakannya mesti bertarung mengikut gaya tempatan dengan menunggang kuda. Masalah timbul apabila ahli pasukannya tidak biasa berkuda. Dibantu oleh pasukan Jeneral Dostum, pasukan Mitch dengan kekuatan seramai 12 orang bergegas ke medan perang dengan peralatan perang seadanya. Adakah Mitch dan pasukan akan bertahan dalam peperangan tersebut?

#3 Bravo 5

Pengarah: Yeop Hitler
Pelakon: Beto Kusyairy, Remy Ishak, Sofi Jikan

SEBUAH filem mengenai lima anggota Komando Tentera Darat di bawah pimpinan Leftenan Azri Haji Manaf yang menjalankan operasi mengekang kebangkitan pengganas komunis (PGK). Lim Yatt, orang penting PGK telah ditangkap berjaya melepaskan diri dengan bantuan pasukan subvesif pengganas komunis. Secara kebetulan, Koperal Kamal yang sedang bercuti berada di tempat kejadian, menyedari dan turut membantu namun telah ditangkap serta ditawan sebagai tebusan untuk mendapatkan maklumat pergerakan pasukan sahabat. Lt. Azri bersama empat anggota komando lain dalam Ronda Kumpulan Kecil (RKK) dikerahkan bagi menyelamatkan tebusan serta mengesan kedudukan musuh bagi membolehkan pasukan sahabat melenyapkan pergerakan subvesif pengganas komunis. Semasa dalam perjalanan pulang dari operasi menyelamat dan mengesan, mereka telah diserang balas dan diburu oleh pasukan musuh dengan kekuatan seramai 200 anggota PGK. Akibat terputus hubungan mereka terpaksa menghadapi musuh tanpa pasukan bantuan. Memegang semangat “Biar Mati Bermaruah Jangan Mati Dijajah”, satu demi satu anggota pasukan terkorban akibat pertempuran. Filem ini dipetik daripada kisah benar melalui Diari Misi Komando yang dahulunya adalah rahsia sulit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kini dipaparkan buat rakyat Malaysia berfikir dan menilai sendiri sumbangan anggota yang terlibat dalam mempertahankan keamanan negara.

#4 Silmido

Pengarah: Kang Woo-Suk
Pelakon: Sol Kyung-Gu, Ahn Sung-Ki, Heo Joon-Ho

UNIT 684 dibentuk setelah percubaan membunuh Presiden Korea Selatan, Park Chung Hee pada 21 Januari 1968 gagal. Selepas kejadian itu, presiden Korea Selatan mengarahkan menteri pertahanannya untuk membentuk sebuah unit rahsia yang dilatih khas untuk membunuh Kim Jong II. 31 banduan dipilih secara rawak untuk menjadi anggota unit khas tersebut dan dihantar ke Pulau Silmido yang terpencil dan tidak berpenghuni di barat Korea Selatan. Sampai di sana, mereka dilatih sebagai pembunuh. Latihan yang sukar diberikan tanpa belas kasihan mengakibatkan tujuh tahanan mati kerana latihan yang terlalu sukar, bahkan mereka juga diperlakukan seperti binatang. Dalam pada itu, hubungan Korea Selatan dan Korea Utara semakin baik yang mendorong pebubaran unit 684 di mana setiap ahlinya perlu dibunuh untuk menutup misi membunuh Kim Jong II agar tidak tersebar secara umum. Hal ini membuatkan pasukan unit 684 ingin melakukan pemberontakan di Seoul. Pada 23 Ogos 1971, anggota unit 684 berjaya melarikan diri dari Pulau Silmido setelah membunuh pegawal mereka yang terdiri daripada anggota tentera udara dan tentera laut Korea Selatan seterusnya merampas bas untuk bertemu dengan presiden Korea Selatan di Seoul. Namun, usaha mereka ditangkis oleh tentera Korea dan polis Korea yang telah menembak bas dinaiki mereka menyebabkan sebahagian besar anggota unit 684 mati manakala yang terselamat dibawa ke mahkamah tentera lalu dijatuhkan hukuman mati. Cerita yang diangkat berdasarkan kisah benar ini menerima pelbagai reaksi apabila ia ditayangkan dan sehingga kini beberapa orang dan keluarga anggota unit 684 masih menuntut keadilan.

– WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas