Berita

Elena sasar tangga tiga teratas

ELENA meningkatkan latihannya menjelang Sukan SEA 2019.
- Diterbit 26 September 2019 11:16 AM MYT

Atlet jalan kaki wanita negara, Elena Goh Ling Yin menyasarkan se­kurang-kurangnya kedudukan di tangga tiga teratas pada temasya Sukan SEA 2019 Filipina yang bakal berlangsung pada November hadapan.

Menurut atlet berusia 23 tahun ini, pada kejohanan ter­sebut ‘musuh’ utamanya yang berasal dari Vietnam, Thi Thanh Phuc merupakan pencabar utama yang paling memberi saingan sengit terhadap diri­nya.

“Pada Sukan SEA 2017 dia tidak tersenarai kerana sedang hamil namun kali ini nampaknya persaingan hebat sedikit apabila dia juga bakal beraksi. Seperti yang diketahui ramai, Thanh Phuc merupakan juara sebanyak tiga kali Sukan SEA sebelum ini.

“Walau apapun saya tetap akan memberikan persem­bahan yang terbaik dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara. Itu adalah amanah yang akan di­pikul sebaiknya,” ujar­nya.

Sungguhpun keadaan berjerebu yang melanda negara saat ini, ia tidak menjadi alasan buat Elena untuk mengetepikan latihan sebagai persediaan ke temasya dwi tahunan terbesar Asia Tenggara itu.

“Saya kini sedang giat men­jalani latihan pada sebelah pagi dan petang kecuali pada hari Ahad. Jika cuaca tidak mengizinkan selalunya saya akan menghabiskan masa di gimnasium dengan latihan di atas treadmill,” ujarnya yang bakal beraksi pada Kejohanan Ter­buka China bulan hadapan.

Atlet di bawah kendalian Ke­tua Jurulatih, Mohd. Manshahar Abd Jalil ini setakat ini berjaya mencatat masa terbaik iaitu 51 minit 42 saat dalam acara 10,000 meter.

Berdasarkan ranking di Asia Tenggara, Elena muncul pelumba terpantas diikuti atlet Filipina, Elizabeth Capioso.

Sebagai rekod, Elena menamatkan kemarau 18 tahun kilauan emas dalam edisi 2017 dengan catatan masa 52:21.50s menewaskan pemenang pi­ngat perak Thi Bich Ha dari Vietnam yang mencatatkan masa 52.27.78s dan pemenang pi­ngat gangsa, T Assawawong­charoen dari Thailand yang mencatatkan masa 53.17.10s.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas