DBKL giat tangani limpahan air hujan
ANGGOTA Penyelamat menggunakan bot bagi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Periuk, Kuala Lumpur.

DBKL giat tangani limpahan air hujan

HUJAN lebat berterusan selama empat jam dikenal pasti sebagai punca Kuala Lumpur ditenggelami banjir kilat baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azmi Abdul Hamid berkata, sesetengah kawasan sekitar ibu kota dinaiki air dengan cepat mengakibatkan banjir kilat berlaku.

“Pihak kami telah mengenal pasti ada 11 lokasi di sekitar Kuala Lumpur yang sering mengalami banjir kilat antaranya iaitu kawasan Jalan Semarak, Jalan Melaka, kawasan Masjid Jamek, Jalan Raja Chulan dan juga Kampung Baru,” katanya kepada Wilayahku pada Isnin lalu.

“Pada hari itu, taburan hujan mencecah kira-kira 209 milimeter per jam di kawasan Gombak dan kawasan-kawasan lain sebanyak 143 milimeter per jam.

“Ia tinggi berbanding sebelum ini dan Kuala Lumpur menerima hujan kira-kira 60 hingga 70 milimeter per jam,” katanya.

Azmi berkata, disebabkan faktor tersebut, pihaknya mendapati limpahan air berlaku di Sungai Gombak, Sungai Klang dan Sungai Bonus.

“Paras sungai juga telah melebihi paras biasa dan sebagai contoh di Sungai Gombak, Jalan Tun Razak, kebiasaanya tahap bahaya adalah 31 meter dan pada hari kejadian ia mencecah 32.79 meter dan melebihi tahap biasa.

Azmi menjelaskan, pihak DBKL menyelenggara kira-kira 16 buah kolam takungan yang berfungsi untuk menyimpan air hujan untuk tempoh tertentu.

“Kolam takungan ini berfungsi secara graviti dan tidak dikawal oleh DBKL. Sekiranya paras air meningkat, ia akan
mengalir masuk secara automatik.

“Air akan disimpan di dalam kolam takungan itu untuk tempoh 30 minit hingga 45 minit dan selepas itu, ia akan mengalir sendiri melalui lubang-lubang yang ada di dalam kolam tersebut.

“Sebagai contoh, kolam takungan di Universiti Malaya boleh menahan kira-kira 15,000 meter kiub (m³) yang dibina di bawah Padang C dan ia telah menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan tersebut,” katanya.

Azmi memberitahu, ketika ini, pihaknya sedang giat membina sebuah kolam takungan air di dalam kawasan Taman
Botani Perdana yang berkapasiti 23,000 m³.

Azmi berkata, untuk jangka masa panjang, pihaknya telah menetapkan kepada setiap pemaju untuk membina kolam
takungan yang dikenali sebagai On Site Detention (OSD) sebagai perancangan untuk menguruskan air banjir.

“Setiap kali ada pembangunan baharu, pemaju perlu membina OSD di bawah Manual Saliran Mesra Alam (MASMA) untuk pembangunan bersaiz sederhana atau besar.

“Tujuan syarat itu dikenakan walaupun terhadap bangunan yang sudah siap dibina adalah untuk menampung limpahan
air dan untuk mengelakkan ia bertakung di permukaan.

“Air tersebut akan bertakung di dalam OSD untuk beberapa tempoh sebelum mengalir secara sedikit dan kadar aliran air yang keluar adalah sama seperti kawasan itu sebelum membangun,” katanya.

Katanya lagi, DBKL telah membelanjakan hampir RM150 juta bagi membina projek tebatan banjir dan  mempertingkatkan sistem perparitan utama bagi mengatasi masalah banjir kilat.

“Sehingga kini, sebanyak lapan buah projek mengatasi banjir dengan nilai perbelanjaan kira-kira RM91.5 juta telah pun siap dilaksanakan di enam buah parlimen melibatkan dua buah projek di Parlimen Seputeh, dan lainlain satu projek di parlimen Cheras, Segambut, Lembah Pantai, Titiwangsa dan Wangsa Maju.

“Manakala tujuh buah projek dalam perlaksanaan membabitkan kos RM57.5 juta membabitkan dua buah projek mempertingkatkan sistem perparitan di Parlimen Wangsa Maju dan lain-lain kawasan sebuah projek di Parlimen Bukit Bintang, Cheras, Seputeh, Kepong dan Titiwangsa.

“Selain itu, DBKL turut mencadangkan tujuh buah projek mempertingkatkan sistem perparitan yang kini di dalam proses perancangan dan rekabentuk yang melibatkan kos kira-kira RM28.5 juta,” katanya.

CATEGORIES