Berita

Elaun khas tingkat semangat barisan hadapan – CUEPACS

ADNAN MAT
- Diterbit 27 Mac 2020 3:20 PM MYT

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merakamkan ucapan terima kasih di atas kenaikan elaun khas kepada petugas barisan hadapan terutamanya dalam menjalani tugasan menghadapi penularan wabak Covid-19.

Presidennya, Adnan Mat berkata, elaun khas itu dapat menyuntik semangat kerja petugas-petugas barisan hadapan yang bekerja demi rakyat.

“Elaun Covid-19 sebanyak RM200 juga harus dipanjangkan kepada petugas yang lain seperti anggota keselamatan.

“Dalam masa sama CUEPACS memohon pertimbangan khas kerajaan untuk panjangkan pemberian elaun ini kepada pasukan Bomba dan Pihak Berkuasa Tempatan yang juga terlibat secara langsung sebagai frontliner,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion yang menyaksikan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang terlibat dalam usaha membendung wabak tersebut.

Menurut Adnan lagi, CUEPACS menzahirkan ucapan terima kasih di atas bantuan tunai sebanyak RM500 yang disifatkan sangat bermakna kepada penjawat awam.

“Ia dapat membantu penjawat awam terutamanya golongan B40 untuk membeli barangan makanan dan keperluan harian,” katanya.

Dalam pada itu Adnan berkata, CUEPACS turut menyeru agar Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menyahut pengumuman itu dengan memberi kemudahan pengecualian potongan pinjaman perumahan kepada penjawat awam sehingga enam bulan mulai April 2020.

“Perkara ini telah dimohon oleh CUEPACS tetapi tiada dalam pengumuman ini,” katanya.

Adnan menyifatkan bahawa semua rakyat mendapat faedah daripada pengumuman pakej rangsangan ekonomi tersebut yang tidak meminggir dan meninggalkan mana-mana pihak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas