Berita

Guna kaedah Guru Mengajar Dari Rumah

||||
- Diterbit 27 Mac 2020 3:34 PM MYT

LABUAN – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan ( JPWPL ) menggesa guru dan pelajar menggunakan pendekatan Guru Mengajar Dari Rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) sehingga 14 April ini.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin berkata, pendekatan yang dilaksanakan dari rumah itu dilihat mampu mencegah dari penularan wabak Covid-19.

“Belajar dari rumah bermaksud mengambil inisiatif belajar secara kendiri dengan menggunakan buku teks sedia ada.

“Malah pelajar boleh membuat ulang kaji dan menyiapkan tugasan yang telah diberikan guru semasa cuti ini.

“Guru pula boleh menggunakan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan sebagainya untuk memberikan tugasan dan arahan kepada pelajar dari rumah.

“Melalui cara ini, guru dan pelajar mempunyai interaksi sesama mereka dalam pembelajaran dari rumah,” katanya kepada Wilayahku, hari ini.

Raisin berkata, warga pendidik seharusnya melakukan pendekatan ini bagi meneruskan kelangsungan pembelajaran kepada pelajar ketika PKP dikuatkuasakan.

Pada dalam itu, Raisin memohon supaya Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bersama Sektor Pembelajaran dapat membantu, membimbing dan memberi khidmat bantu guru- guru dalam memastikan kaedah belajar dari rumah benar-benar memberi manfaat kepada murid-murid. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas