Berita

360 gelandangan diberi kursus motivasi, latihan kemahiran lepas Aidilfitri

ANNUAR (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang gelandangan bagi meraikan golongan itu pada hari pertama hari raya di Dewan Pusat Komuniti Sentul Perdana hari ini.
- Diterbit 24 Mei 2020 8:27 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kerajaan membelanjakan kira-kira RM3.4 juta untuk menyediakan kursus motivasi dan pemulihan di Kuantan, Pahang dan Sepang, Selangor kepada golongan gelandangan selepas Aidilfitri ini.

Program tersebut akan membantu kira-kira 360 gelandangan di sekitar ibu kota yang diselamatkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, kursus itu bertujuan mempersiapkan golongan  berkenaan sebelum memasuki alam pekerjaan serta memastikan mereka tidak lagi kembali bergelandangan.

“Sejumlah gelandangan yang sihat dan bebas Covid-19 dan penyakit berjangkit lain sudah mula bekerja seawal Ramadan lalu selepas menjalani temuduga.

“Kita mendapati beberapa gelandangan yang perlu melalui motivasi dan pemulihan sebelum boleh bekerja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri bersama gelandangan di Dewan Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini hari ini.

ANNUAR beramah mesra dengan penghuni di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan di Dewan Pusat Komuniti Sentul Perdana hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan.

Annuar berkata, terdapat kira-kira 60 gelandangan yang ada rekod penyalahgunaan dadah akan dihantar menjalani kursus motivasi, pemulihan dan kerjaya di Kuantan, Pahang selama tiga bulan selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Kira-kira 300 gelandangan pula sudah terlalu lama dengan cara hidup sekarang dan belum biasa dengan kehidupan berjadual, berdisiplin dan berpakaian kemas.

“Jadi saya bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pakar psikologi, kaunseling dan kesihatan membantu mereka menjalani latihan sistematik bagi biasakan diri dengan suasana pekerjaan yang memerlukan kesungguhan, sikap positif, disiplin dan keterampilan diri,” katanya.

Kata Annuar lagi, sebahagian 300 gelandangan yang menjalani kursus di Sepang pula bakal diambil bekerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta menetap di asrama agensi itu yang kini sudah 90 peratus siap dibina.

“Sekitar 80 gelandangan yang sakit, uzur, tua dan cacat kita serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala penagih dadah tegar sudah dihantar kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) manakala pendatang asing tanpa izin diserah kepada Jabatan Imigresen,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan telah menyelamatkan lebih 800 gelandangan untuk mengekang penularan Covid-19 dengan menempatkan mereka sementara di pusat komuniti dan dewan serbaguna di sekitar ibu negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas