Berita

Ejen Ali ‘dilantik’ ikon kempen kesedaran ‘RoL’

||||
- Diterbit 20 Februari 2021 4:07 AM MYT

WATAK animasi superhero tempatan Ejen Ali diangkat sebagai ikon kempen kesedaran dalam usaha untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan memulihara sungai dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di kawasan River of Life (RoL).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, watak itu dipilih hasil kerjasama diantara Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahukan Ejen Ali menjadi ikon kempen kesedaran RoL-Public Outreach Programme (RoL-POP).

“Ia dapat menyampaikan mesej mengenai kepentingan penjagaan kebersihan dan keindahan alam sekitar khususnya kepada pelajar dan anak muda di Kuala Lumpur,” katanya.

Kata Annuar, program River of Life Virtual Bike & Run 2021 ini diadakan dengan kerjasama Malaysia Green Building Council (MGBC) sempena Sambutan Hari Wilayah Pesekutuan 2021.

“Program yang berkonsepkan virtual tahun ini dapat mempromosikan River of Life sebagai produk eco- pelancongan di Kuala Lumpur.

“Sehingga hari ini seramai 1,700 orang telah mendaftar sebagai perserta River of Life Virtual Bike & Run 2021.

“Peserta berdaftar mempunyai pilihan samada berlari, berjalan atau berbasikal di mana-mana lokasi ROL bermula 1 Februari hingga 30 Jun 2021,” katanya.

Beliau berkata, pematuhan SOP bagi aktiviti riadah tersebut perlu dipatuhi supaya keselamatan semua pihak terjaga.

“Selain dapat beriadah, warga kota juga dapat bersama-sama memainkan peranan meningkatan kesedaran orang awam dalam membendung pencemaran sungai dan vandalisma yang sentiasa berlaku khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya

Annuar berkata, penganjuran River of Life Virtual Bike & Run 2021 di bawah Cakna Sukan dapat memberi peluang kepada orang ramai menjalani gaya hidup sihat sepanjang tempoh PKP.

“Inisiatif program kesedaran RoL ini perlu diteruskan dengan aktiviti promosi yang lebih berkesan bagi memastikan mesej mengenai kepentingan penjagaan sungai sebagai sumber bekalan air bersih dan sebagai habitat alam semula jadi ini dapat disampaikan kepada masyarakat dengan berkesan.

“Kerjasama orang ramai dalam bersama-sama menangani masalah pencemaran sungai adalah sangat diperlukan demi kesejahteraan semua dan generasi yang akan datang,” katanya.– AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas