Berita

Covid-19 : Penjawat awam perlu patuh tanpa pertikaian

Penjawat awam mampu kawal pergerakan 8 juta penduduk Malaysia
- Diterbit 18 Mac 2020 6:04 AM MYT

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru 1.62 juta penjawat awam kecuali yang diarahkan bertugas, mengikut arahan kerajaan tanpa pertikaian.

Presidennya, Adnan Mat berkata, penjawat awam yang tidak terlibat dengan sektor ‘barisan hadapan’, hendaklah terus kekal bertugas dari rumah dan mengurangkan pergerakan selain disaran supaya turut mengawal ahli keluarga agar patuh kepada perintah kerajaan.

“Jika semua ini dapat dilakukan maka sektor awam sahaja mampu mengawal pergerakan 8 juta penduduk Malaysia sekali gus mengawal penularan Covid 19.

“CUEPACS sedar situasi di luar lebih kalut dengan viral yang tidak membantu sebaliknya menjurus kepada pertikaian dan saling menyalahkan satu sama lain. Pengorbanan sepanjang tempoh ini menentukan nasib Malaysia selepas ini dan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Adnan memohon pihak kerajaan mengambil kira kebajikan pekerja sambilan harian (PSH) berikutan dengan berkuatkuasanya sekatan ini, maka pekerja terlibat hilang pendapatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa, pihaknya menerima aduan berbagai isu pihak pekerja antaranya penutupan taska swasta dan taska jabatan telah menyebabkan pekerja yang diarahkan bertugas mengalami kesukaran dalam menguruskan hal berkaitan penjagaan anak-anak.

“Bagi pejawat awam di Skim Keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera dan lain-lain yang diarah bertugas di pejabat, budi bicara Ketua Jabatan perlu untuk membenarkan pejawat awam diberi kemudahan Cuti Tanpa Rekod (CTR) bagi hal-hal kecemasan seperti penjagaan anak kerana Taska dan pusat jagaan kanak-kanak diarah tutup.

“Ini bagi mengelakkan pejawat awam membawa anak-anak ke pejabat sedangkan arahan jelas untuk mengurangkan jumlah kehadiran penghuni ke pejabat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas