Berita

Dua taman di Selayang, Chow Kit kena PKP separa ketat

ANGGOTA tentera mengawal kawasan sekitar Chow Kit dan Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur bermula pagi ini.
- Diterbit 5 Mei 2020 2:50 AM MYT

SELAYANG – Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di sini menjadi dua lokaliti baharu kenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separa ketat bermula hari ini.

Turut dikenakan perintah yang sama ialah kawasan sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, difahamkan penguatkuasaan tersebut adalah bersifat ‘separa ketat’ bagi memudahkan proses saringan kesihatan dilakukan di kawasan terbabit.

Tinjauan Wilayahku mendapati kawasan sekitar di kedua-dua taman perumahan berhampiran Taman Seri Murni yang dikenakan PKPD pada 20 April lalu kini dikawal pihak keselamatan.

Warga tempatan dibenarkan keluar dan masuk seperti biasa namun perlu melalui sekatan jalan raya dan mengemukakan kad pengenalan sebagai bukti.

Warga asing pula dilarang untuk keluar dan masuk serta mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19.

KAWALAN pihak polis dan tentera di Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti, Selayang.

Setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai penguatkuasaan PKPD terbaharu itu.

Bermula semalam (4 Mei) , kerajaan mewartakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan kegiatan ekonomi beroperasi dengan syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr Santhara berkata, kawasan terbabit dikenakan PKP separa ketat bermula pukul 6 pagi tadi dengan penduduk tempatan masih dibenarkan keluar masuk kawasan itu.

“Perniagaan di kawasan itu dibenarkan beroperasi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas