Berita

Sultan Selangor, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan

“Beta memandang berat kes kemalangan cuai sebegini dan berharap si pelaku akan dikenakan hukuman yang setimpal,” titah baginda.
SULTAN Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan. Gambar Selangor Royal Office
- Diterbit 5 Mei 2020 4:03 AM MYT

SHAH ALAM  – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permairusi Norashikin menzahirkan simpati serta takziah kepada keluarga Koperal Safwan Muhammad Ismail, anggota polis yang maut ketika bertugas dalam Ops Covid-19, Ahad lalu.

Sultan Sharafuddin berharap waris dan ahli keluarga Allahyarham Safuan terus tabah dan menerima ketentuan ini.

“Pengorbanan Safwan sesuatu yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negata,” titah baginda.

Dalam perutusan  takziah itu, Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa kesal atas tragedi menimpa Safwan yang kehilangan nyawa ketika sedang menjaga keselamatan rakyat.

“Beta memandang berat kes kemalangan cuai sebegini dan berharap si pelaku akan dikenakan hukuman yang setimpal,” titah baginda.

Awal pagi Ahad lalu, Safwan, 31, anggota Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang maut selepas dirempuh pemandu disyaki mabuk di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS).

Dalam kejadian pada pukul 2.11 pagi itu, pemandu Toyota Hilux yang datang dari arah Kajang menuju plaza tol berkenaan hilang kawalan hingga merempuh mangsa dan kenderaan polis di tepi jalan.

Berikutan itu, Safwan mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas