SELAYANG – Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di sini menjadi dua lokaliti baharu kenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separa ketat bermula hari ini.
Turut dikenakan perintah yang sama ialah kawasan sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, difahamkan penguatkuasaan tersebut adalah bersifat ‘separa ketat’ bagi memudahkan proses saringan kesihatan dilakukan di kawasan terbabit.
Tinjauan Wilayahku mendapati kawasan sekitar di kedua-dua taman perumahan berhampiran Taman Seri Murni yang dikenakan PKPD pada 20 April lalu kini dikawal pihak keselamatan.
Warga tempatan dibenarkan keluar dan masuk seperti biasa namun perlu melalui sekatan jalan raya dan mengemukakan kad pengenalan sebagai bukti.
Warga asing pula dilarang untuk keluar dan masuk serta mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19.

Setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai penguatkuasaan PKPD terbaharu itu.
Bermula semalam (4 Mei) , kerajaan mewartakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan kegiatan ekonomi beroperasi dengan syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP).
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr Santhara berkata, kawasan terbabit dikenakan PKP separa ketat bermula pukul 6 pagi tadi dengan penduduk tempatan masih dibenarkan keluar masuk kawasan itu.
“Perniagaan di kawasan itu dibenarkan beroperasi,” katanya. – WILAYAHKU