Berita

Dua tahun jalan runtuh, penduduk rayu tangani isu

PENDUDUK kampung pernah mengumpul dana sendiri dan membaiki kerosakkan
- Diterbit 8 Mac 2024 11:20 AM MYT

PENDUDUK Kampung Kilan dan Bukit Kalam di sini merayu kepada pihak berkuasa untuk menangani isu jalan runtuh di kampung itu yang telah berlanjutan lebih dua tahun lalu.

Tinjauan Wilayahku di kawasan tersebut baru-baru ini mendapati keseluruhan struktur jalan itu runtuh sehingga menyebabkan laluan utama ke kampung berkenaan tidak dapat digunakan.

Menurut Ketua Kampung Kilan, Mohammad Hassan Kapal, kejadian tersebut berlaku pada awal tahun 2021 lagi dan menyebabkan kesukaran kepada penduduk kerana ia merupakan laluan utama keluar dan masuk ke kampung ini.

Katanya, kejadian tanah runtuh itu berlaku berpunca daripada aktiviti pengorekan tanah oleh pihak tertentu dan mengakibatkan berlakunya pergeseran tanah yang telah memusnahkan struktur jalan itu.

“Isu ini telah saya bawa sejak dua tahun lalu kepada pihak yang berwajib untuk meminta pembaikan jalan ini kerana ianya merupakan jalan utama kepada lebih 30 buah keluarga di kawasan ini.

“Sepanjang lebih dua tahun ini, terdapat beberapa pihak telah mengadakan lawatan demi lawatan untuk melihat dan menilai kerosakan jalan ini namun sampai sekarang masih belum ada lagi sebarang berita baik untuk pembaikan jalan ini dan berharap Kerajaan Madani dapat memberikan perhatian dan mengambil tindakan secepatnya agar masalah ini dapat ditangani demi kemudahan dan keselamatan penduduk di sini,” katanya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hassan turut menyuarakan isu kerosakan beberapa batang jalan di kampung itu yang agak merisaukan kepada semua penduduk.

Jelasnya, demi keselamatan dan keselesaan penduduk, beliau dan warga kampung terpaksa melakukan gotong-royong membaiki beberapa jalan di kampung itu yang rosak dengan menggunakan kewangan mereka sendiri.

“Kalau cakap mengenai isu jalan rosak ini, di kampung ini sahaja terdapat beberapa jalan yang rosak. Aduan dan permohonan telah dihantar namun sampai sekarang ianya tidak ada sebarang perkembangan,” katanya,

Hassan berkata pihaknya terpaksa mengumpul dana daripada penduduk kampung termasuk menggunakan elaun sebagai Ketua Kampung untuk membaiki beberapa batang jalan di sini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Kerja-kerja baik pulih ini dilaksanakan sekadar yang kami mampu demi keselamatan dan keselesaan penduduk,” katanya.

Bagi penduduk, Mariah Abdullah, 72, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap isu jalan runtuh itu yang berdekatan dengan rumah kediamannya.

Katanya, sejak jalan ini runtuh, dia amat bimbang kerana hakisan tanah semakin lama semakin teruk dan menyebabkan lantai rumahnya turut retak.

“Sudah dua tahun lebih kejadian itu dan kira-kira tiga kali lantai bahagian dapur rumah saya retak akibat hakisan tanah runtuh ini. Jika berlakunya hujan lebat itu lebih membuatkan saya risau dan takut,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas