Berita

Dua otai ‘ligat’ di padang bola

SHUKOR memiliki semangat yang tinggi ketika beraksi.
- Diterbit 3 Februari 2020 2:00 AM MYT

SUNGGUHPUN usia ke­dua­-dua pemain bola sepak The City Boys, Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin boleh dikate­gorikan sebagai veteran, namun, itu bukanlah alasan untuk mempertikaikan kehadiran mereka dalam arena bola sepak.

Kedua-dua pemain berpengalaman, Shukor dan Indra yang bakal menginjak usia 41 tahun dan 39 tahun ini jelas membuktikan me­reka memiliki kecergasan yang tinggi berbanding pemain yang jauh lebih muda.

Tidak hairanlah kedua­-duanya berjaya melepasi ujian tahap kecergasan berdasarkan sains sukan dan seterusnya mencatatkan keputusan yang mengagumkan.

Menjelaskan tentang perkara itu, Shukor yang me­rupakan bekas kapten Melaka United (MU) pada musim lalu berkata, sebagai pemain dia sangat menitikberatkan soal pemakanan dan latihan.

“Bagi saya usia bukanlah penghalang utama. Paling penting, pada usia sebegini saya lebih mengetahui bahagian-bahagian yang kurang menyerlah dari segi permainan dan berusaha untuk memperbaikinya,” ujarnya.

Katanya yang berada di posisi pertahanan, dia tertarik untuk menyertai pasukan Kuala Lumpur FA (KLFA) kerana matlamat yang ada pada pasukan itu adalah untuk bermain di Liga Super pada tahun hadapan.

“KLFA mempunyai sasaran dan hala tuju yang jelas, kerana itu saya percaya ia bukanlah suatu yang mustahil untuk membawa KLFA ke Liga Super,” ujar Shukor.

INDRA PUTRA licik ketika di padang.

Sementara itu, menurut Indra Putra yang sudah pun bersama The City Boys sejak musim lalu mengakui, pengambilan suplemen sangat membantu untuk tujuan penjagaan kesihatan dan meningkatkan prestasi tubuh pada tahap optimum.

“Selain daripada itu, tidur yang cukup juga amat penting bagi saya supaya tubuh dapat berehat dengan sebaiknya setelah bekerja keras lebih-lebih lagi saya suka melakukan latihan yang lebih,” ujarnya.

Ditanya tentang impian­nya bersama KLFA, Indra Putra yang berada di posisi tengah berhasrat untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala bersama pasukan Kuala Lumpur.

Beralih kepada perkembangan semasa, pasukan KLFA kini sedang mengikuti kursus kem bina semangat yang berlangsung di Taman Negara sehingga hujung minggu ini dan bakal ke Utara dalam masa terdekat untuk perlawanan persahabatan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas