Berita

Dua ditahan hina Agong, ugut PM – KPN

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 28 November 2023 6:47 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia berjaya menahan dua individu warga tempatan selepas mengeluarkan hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri yang dibuat melalui platform media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kedua-dua suspek berkenaan berusia dalam lingkungan 37 dan 34 tahun itu ditahan secara berasingan pada 26 November dan 28 November.

“Suspek pertama membabitkan pemilik atau pengendali akaun Facebook ‘Cik Mat Cik Po’ ditahan di Kota Bharu, Kelantan kerana memuat naik komentar kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan serta membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan selama empat hari mulai 27 November hingga 30 November.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian serta penghinaan terhadap mana-mana Raja dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhimdatan rangkaian dan lain-lain,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, tangkapan kedua pula membabitkan pemilik atau pengendali akaun TikTok @jaiadani89 berhubung hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lama sosial berkenaan.

Katanya, tangkapan tersebut dilakukan pada 28 November di kawasan Jalan Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan.

“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan selama tiga hari mulai 28 November hingga 30 November dan kes masih di peringkat siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 507 kanun keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses siasatan serta mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas