Biz

DPIM, Laundrybar buka peluang jadi usahawan dobi layan diri

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (tiga dari kanan) dan Pengarah Utusan Laundrybar Paul Ang (lima dari kiri) bergambar bersama beberapa ahli DPIM Putajaya dan wakil Laundrybar ketika mengadakan kunjungan ke ibu pejabat Laundrybar di Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 11 November 2022 11:16 AM MYT

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) cawangan Putrajaya membuka peluang kepada ahlinya mengembangkan perniagaan bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga ke luar negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat bersama beberapa ahli ke Ibu pejabat Laundrybar di Kepong, Kuala Lumpur sebagai langkah kerjasama menjalankan perniagaan dobi layan diri di peringkat tempatan dan luar negara.

“DPIM berpuas hati dengan layanan dan penjelasan daripada pihak Laundybar dalam kunjungan baru-baru ini kerana syarikat tersebut adalah contoh terbaik kepada usahawan yang berminat dalam perniagaan dobi layan diri di negara ini.

“Buktinya Laundrybar telah memiliki 650 cawangan di Malaysia termasuk di Thailand, Brunei dan Turki. Terkini mereka sedang mengintai peluang membuka cawangan di Indonesia, Filipina dan Singapura,” ujarnya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (tiga dari kanan) dan Pengarah Utusan Laundrybar Paul Ang (lima dari kiri) bergambar bersama beberapa ahli DPIM Putajaya dan wakil Laundrybar ketika mengadakan kunjungan ke ibu pejabat Laundrybar di Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bersandarkan kepada kejayaan tersebut, DPIM katanya teruja untuk bekerjasama dengan Laundrybar kerana perniagaan ini sesuai dijalankan di lokasi strategik seperti kawasan perumahan, di kawasan institusi pengajian tinggi dan juga kawasan komersial.

“Dobi layan diri mempunyai potensi untuk dimajukan kerana boleh beroperasi di bangunan kedai yang boleh menempatkan sekurang – kurangnya enam mesin basuh dengan lima pengering selama 24 jam.

“Mesin yang dibekalkan juga mempunyai jaminan selama lapan tahun dengan sistem sokongan teknikal lengkap. Uniknya perniagaan ini tidak memerlukan pergantungan tenaga pekerja,” katanya.

Sehubungan dengan itu atas dorongan DPIM buat pertama kali, ahlinya yang menetap di Timur Tengah bakal membuka sebuah perniagaan dobi di sana.

“Salah seorang ahli DPIM memilih perniagaan francais dobi di Timur Tengah kerana mempunyai sistem sokongan terutama dari segi teknikal jika berlaku kerosakan mesin dan sebagainya.

“Ahli tersebut merupakan salah seorang daripada kumpulan dalam World Integrated Supply Ecosystem Sdn Bhd (WISE) yang juga rakan perniagaan DPIM yang telah mempunyai pengalaman selama 15 tahun menjalankan perniagaan di luar negara,” katanya.

Tambahnya, WISE merupakan syarikat tempatan bertaraf global dengan mempunyai rangkaian niaga antarabangsa bagi pasaran di negara-negara Eropah terutama import dan eksport produk makanan halal kini menerokai perniagaan perkhidmatan.

“Lebih banyak lagi bidang perusahaan akan dibangunkan oleh WISE terutama perniagaan unik dan bakal menjadi pelopor di negara-nergara berkaitan seperti dobi.

Justeru DPIM akan mencari lebih banyak peluang kepada ahli dan usahawan yang berminat menjalankan kolaborasi dengan syarikat tempatan yang telah menempa kejayaan di luar.

“Persepsi orang ramai yang mengaitkan DPIM hanya memberi fokus kepada pengurusan makanan dan minuman (F &B) untuk tujuan eksport juga perlu diubah kerana peluang dalam bidang perkhidmataan turut diberi perhatian,” ujarnya.

Khanafi menambah, pihaknya akan mengadakan majlis pertemuan dengan ahli dan juga usahawan lain yang berminat dengan menjemput wakil daripada Laundrybar untuk memberikan taklimat lebih terperinci mengenai pakej perniagaan dobi layan diri.

“Apa yang lebih menarik, selain pakej daripada Laudrybar, DPIM juga bekerjasama dengan pihak Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) di bawah Kementerian Kewangan Malaysia untuk memperoleh pinjaman yang akan disuai padan mengikut terma dan syarat yang dipersetujui bersama.

“Pengurusan perniagaan ini juga akan diuruskan oleh konsultan di kalangan ahli DPIM. Inilah antara objektif kami membuka peluang yang saling terkait di kalangan ahli-ahlinya sendiri.

Sementara itu, Pengarah Urusan Laundrybar, Paul Ang dan Sandra Chua menjelaskan, pihak mereka mengalu-alukan kerjasama dengan pihak DPIM dan bersedia untuk memberikan taklimat dan tunjuk ajar dan selok belok perniagaan berasaskan perkhidmatan.

“LaundryBar menyediakan pakej lengkap dan memperkenalkan sistem francais yang membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk melibatkan diri.

“Bahkan kami juga akan bersama-sama menilai lokasi strategik yang diminati malah mereka boleh memilih mengekalkan nama Laundrybar atau memilih nama sendiri mengikut syarat yang akan ditetapkan kemudian,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas