Selebriti

“Sangat-sangat sedih”… Aiman Sidek kecewa Cinta Sejati gagal ke semi final Muzik-Muzik 37

- Diterbit 14 November 2022 2:20 AM MYT

MESKIPUN lagu Cinta Sejati mendapat lebih 10 juta tontonan di YouTube dan dua juta pendengar di platform digital, namun tetap gagal berada dalam senarai semi final Muzik-Muzik 37 (MM37) seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Komposer dan penyanyi lagu tersebut, Aiman Sidek mengaku sedih dan kecewa kerana dia sudah melakukan yang terbaik.

“Sekali lagi impian terkubur. Saya tidak tahu bagaimanapun untuk menambah pengikut bagi memberikan impak dalam undian lagu.

“Selama 13 tahun saya mencuba,, Alhamdulillah lagu kali ini menjadi dan Cinta Sejati akhirnya diterima. Panjang perjalanan tetapi masih tidak mampu berada dalam senarai semi final.

“Saya sedih. Sangat-sangat sedih. Saya tidak tahu bila lagi lagu saya akan diterima sebegini,” katanya dalam satu luahan yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.

Aiman pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghantar pesanan kepadanya dengan kata-kata semangat.

Katanya, hakikat sebenar ialah dia tidak mempunyai kuasa undian di mana dalam industri muzik Malaysia, pengikut akan menetukan kerjaya seseorang artis.

“Bila berkisar mengenai undian, nescaya yang ramai pengikut akan memberikan impak yang lebih besar.

“Terima kasih sekali lagi yang menyokong maaf kerana Cinta Sejati gagal ke semi final MM37. Kita jumpa pada karya seterusnya,” katanya.

Lagu Cinta Sejati yang tular meluas di platform sosial media TikTok terutamanya gagal ke peringkat semi final MM37 bersama 30 karya lain.

Beberapa komen netizen turut memberikan sokongan kepada Aiman malah ada yang turut melahirkan rasa hairan apabila lagu itu tidak berada dalam senarai semi final MM37. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas