Selebriti

Disuruh Kahwin WAN SHARMILA, “Doakan Yang Baik-Baik” – SYAZWAN ZULKIFLY

|WATAK Helmi serta Sofi lakonan Syazwan dengan Wan Sharmila membuatkan ramai peminat menjodohkan mereka.
- Diterbit 6 Ogos 2020 10:15 PM MYT

PENANGAN drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2  siaran TV3 mendapat sambutan yang sangat luar biasa. 

Setiap episod menjadi perbualan ramai sehingga mereka tertunggu-tunggu apakah yang akan berlaku seterusnya.

Disebabkan drama ini juga pelakon Syazwan Zulkifly disuruh berkahwin dengan Wan Sharmila gara-gara watak mereka sebagai suami isteri. 

“Saya akui ramai peminat mahu jodohkan kami berdua gara-gara drama ini. Nampaknya mereka betul-betul menjiwai drama ini. 

“Sejujurnya, saya dan Lala (panggilan untuk Wan Sharmila) memang kawan. Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan Lala. Sebelum ini banyak drama yang kami terlibat bersama.

“Jadi pengalaman ini memudahkan kami menjayakan watak yang diberikan dan dilihat serasi. 

“Saya dan Lala gembira dengan penerimaan peminat terhadap lakonan kami sebagai suami isteri dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2.

“Mereka melihat watak saya sebagai Helmi dan Lala sebagai Sofi ini ada chemistry sehingga ramai yang mula menjodohkan kami,” katanya kepada Wilayahku.

WATAK Helmi serta Sofi lakonan Syazwan dengan Wan Sharmila membuatkan ramai peminat menjodohkan mereka.

Tambahan pula katanya, status mereka yang masih solo membuatkan peminat lebih seronok menjodohkan mereka. 

“Iyalah.. Saya dan Lala masing-masing bujang. Bagi mereka tidak salah pun jodohkan kami.

“Semua itu hanya dalam drama sahaja. Hakikatnya di luar lokasi penggambaran kami hanyalah kawan. 

“Kami pun sudah lama tidak berjumpa. Hanya berhubung melalui group whatsap sahaja.

“Terima kasih kerana doakan yang baik-baik. Namun realitinya kami memang hanya kawan. Tidak lebih daripada itu,” jelas Syazwan Zulkifly yang meluahkan rasa bertuah kerana diberi peluang berlakon dengan ramai pelakon yang hebat.

Selain Syazwan dan Wan Sharmila, pelakon lain yang turut memberikan lakonan mantap ialah Shukri Yahaya, Siti Saleha, Liza Abdullah, Jasmin Hamid, Kaza, Bil Azali dan ramai lagi.

“Mereka semua hebat-hebat. Aura mereka membuatkan saya lebih bersemangat untuk buat yang terbaik. 

“Team work drama ini juga sangat bagus. Kerjasama semua membuat drama ini terus menjadi pilihan ramai,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas