Berita

38 hospital sedia 3,994 katil rawat Covid-19

ANTARA kemudahan yang disediakan di MAEPS untuk proses kuarantin kes Covid-19.
- Diterbit 30 Mac 2020 10:43 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan menyediakan 3,994 katil sebagai persediaan merawat pesakit Covid-19 membabitkan 38 hospital di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulla berkata, pihaknya sedang merancang menambah 1,937 katil di Institusi Latihan KKM (ILKKM) yang akan dijadikan pusat kuarantin dan rawatan pesakit.

“Selain ILKKM, kerajaan sudah menyediakan 600 katil di Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) sebagai persediaan merawat pesakit.

“Jumlah katil dan hospital semakin meningkat selaras dengan peningkatan kes yang berlaku. Setakat ini, pesakit Covid-19 dirawat di 38 hospital manakala saringan dilakukan di 70 hospital,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham mengingatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara supaya mengasingkan diri daripada bergaul rapat dengan ahli keluarga atau individu lain selama 14 hari.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga, individu berkenaan perlu menitikberatkan aspek kebersihan diri dan kerap mencuci tangan selaian mengamalkan jarak sosial kira-kira satu meter dari individu lain.

“Dalam tempoh sama juga, individu itu harus memantau diri. Sekiranya demam, batuk, selesema,sakit tekak atau sesak nafas, perlulah membuat panggilan segera ke fasiliti kesihatan terdekat.

“Bagi individu yang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin sendiri, mereka harus mematuhi tatacara Perintah Pengawasan dan Pemerhatian yang telah ditetapkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas