WALAUPUN bersaing dengan ramai penyanyi baharu lain, Adira Suhaimi terus diberi kepercayaan menyanyikan lagu runut bunyi.
Terbaru, Adira yang muncul dengan sebuah lagi lagu runut bunyi berjudul Kesempatan Bagimu menyatakan dirinya bersyukur digelar ratu soundtrack atau lagu runut bunyi.
Baginya, setelah lebih sedekad dalam industri, rezeki dalam nyanyian tidak pernah putus.
“Ada ketika saya rasa bagai ada rahmat tersembunyi dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan hingga kini. Terutama terus menjadi pilihan menyanyikan lagu runut bunyi untuk drama TV. Tapi dalam hati kadang terbit juga rasa, orang tak jemu ke, lagi lagi Adira.
“Di saat ramai bakat baharu dan yang sedia ada bersaing di pasaran, rezeki untuk menyanyikan lagu runut bunyi masih menyebelahi saya. Saya lihat semua itu daripada sudut positif sekali gus jadi penghormatan peribadi buat diri ini.
“Tahun ini saja sudah dua lagu runut bunyi saya nyanyikan. Sebelum ini, saya menyanyikan lagu Maaf untuk drama Maaf Tak Indah yang menghiasi slot Samarinda TV3 pada bulan Februari lalu,” katanya penuh kesyukuran.

Bercerita tentang lagu Kesempatan Bagimu, ini sebenarnya kerjasama kali keempat Adira dengan Ikhwan Fatanna.
“Sebelum Kesempatan Bagimu, saya terlebih dahulu mencipta keserasian dengan lagu karya Ikhwan Fatanna sejak dari lagu Pujaan Hati, Takdir Tercipta dan juga Maaf. Saya juga secara peribadi senang bekerjasama dengannya.
“Lagu baharu ini pun dirakam tanpa ambil masa yang panjang. Selain sudah faham rentak kerja dengan komposer, saya juga sudah dapat lagu ini lebih awal untuk berlatih.
“Kebetulan lagu baharu ini pun berentak balada seperti yang sebelumnya. Tak saya nafikan jiwa ini lebih terarah menyanyikan lagu berentak balada dan melankonlik. Mungkin juga dalam ketegasan diri ini, kelembutan jiwa itu masih terserlah,” selorohnya
Kata Naib Juara Akademi Fantasia musim kelapan itu, dia secara peribadi tidak menganggap gelaran Ratu Soundtrack itu sebagai perkara membebankan. Ia jadi nilai tambah.
“Kalau ada yang suka dengan lagu nyanyian saya melatari drama di kaca TV itu sudah cukup baik. Lagu soundtrack ini menyuntik dan menjentik emosi penonton dan jika ada yang terus memberikan gelaran Ratu Soundtrack kepada saya, saya okey saja.
“Saya bersyukur dengan pengiftirafan sebegitu. Bila difikir daripada skop yang lebih luas, ia semua peluang dan juga rezeki untuk saya kekal relevan di persada seni.
“Untung apabila lagu dipilih jadi runut bunyi kerana dalam tempoh siaran drama itu di kaca TV atau pelantar digital, ia akan terus dimainkan dan secara tak langsung akan cepat diingat. Jadi, selain radio dan laman maya, TV juga jadi ruang promosi yang baik,” ujarnya lagi.
Lagu terbitan Nova Music Malaysia yang menjadi lagu tema siri drama Tercipta Satu Ikatan dilancarkan pada hari ini (25 Disember 2020) dan boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, YouTube Music, KK Box dan Deezer.
Siaran perdana video muzik rasmi Kesempatan Bagimu juga boleh ditonton pada pukul 9 malam ini di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan ini https://youtu.be/knMLdKVtrQY – WILAYAHKU