Artikel

Azam jaga kesihatan, elak wabak media sosial

MEDIA sosial sering menjadi keutamaan setiap generasi. - Gambar hiasan
- Diterbit 10 Januari 2020 4:38 AM MYT

“Media sosial sudah menjadi wabak penyakit mental rakyat. Rakyat seolah-olah tidak dapat hidup tanpa media sosial seperti WhatsApp, Instagram, Facebook dan Twitter

BAGI tahun 2020 terdapat dua azam yang perlu dicapai oleh rakyat Malaysia.

Azam tersebut bukan sahaja dalam bentuk azam tetapi ia perlu dijadikan undang-undang supaya ia dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Pertama, rakyat Malaysia harus berusaha untuk menjaga kesihatan diri mereka. Kos kesihatan semakin meningkat setiap tahun.

Meskipun, kerajaan berusaha keras untuk menjaga kesihatan rakyatnya tetapi rakyat sendiri memandang mudah terhadap kesihatan diri mereka.

Mungkin ia disebabkan faktor kos kesihatan yang murah di klinik kerajaan. Bagi warganegara, kos sebanyak RM1 bagi pesakit luar dan lima ringgit bagi konsultasi pakar adalah amat rendah berbanding kos sebenar yang ditanggung oleh kerajaan.

Kini Malaysia menghadapi masalah kesihatan yang besar akibat bertambahnya penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, buah pinggang dan sakit berkaitan kardiovaskular.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berdasarkan statistik Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang dijalankan Kementerian Kesihatan setiap lima tahun, peratus dewasa yang mengalami diabetes meningkat dari 8.3 peratus pada tahun 1996 kepada 17.5 peratus pada 2015.

Walaupun Kementerian Kesihatan berusaha untuk memerangi peningkatan jumlah penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat seperti perlaksanaan program Komuniti Sihat Pembina

Negara dan Komunikasi untuk Kesan Tingkah Behaviourial Impact termasuk program PeKa: B40 namun ia masih belum menampakkan hasil positif.

Justeru bagi mengawal penyakit tidak berjangkit ini rakyat sendiri harus mengambil langkah proaktif iaitu dengan mengawasi diet dan mula bersenam. Ini sahaja ubat yang ampuh bagi penyakit tidak berjangkit ini.

Media sosial

Kedua, media sosial sudah menjadi wabak penyakit mental rakyat. Rakyat seolah-olah tidak dapat hidup tanpa media sosial seperti WhatsApp, Instagram, Facebook dan Twitter.

Keempat-empat medium ini berada di tangga teratas carta media sosial di Malaysia.

Apabila rakyat terlampau obses dengan media sosial ini menyebabkan pelbagai gangguan penyakit sosial yang lain.

Kesan sampingan daripada perasaan obses terhadap media sosial ini menyebabkan produktiviti rakyat.

Kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia mendapati 63 peratus belia menghabiskan masa melayari Internet pada masa lapang.

Kajian juga mendapati 96.5 peratus pengguna Internet mempunyai akaun Facebook dan menghabiskan masa selama empat jam sehari di sana.

Apabila masa selama itu dihabiskan di media sosial, maka pelbagai masalah sosial sampingan akan berlaku.

Masalah sampingan yang terbesar dihadapi kerajaan sekarang adalah untuk mengekang penularan maklumat palsu.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan akta bagi pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Dengan pemansuhan akta itu akan membuatkan kerajaan bukan sahaja perlu lebih tegas malah lebih kreatif untuk memastikan penyebar berita palsu diambil tindakan.

Oleh itu, inilah dua azam yang patut dibuat oleh rakyat Malaysia untuk diri mereka dan negara Malaysia pada tahun 2020.

Pertamanya adalah untuk menjaga kesihatan mereka dan keduanya adalah untuk menjaga akal mereka daripada penipuan berita palsu di media sosial.

Kedua-dua perkara ini boleh memusnahkan bukan sahaja diri mereka malah negara ini sendiri.

Buat pihak kerajaan, berusahalah bagi menjaga kedua-dua perkara ini dengan memperkenalkan undang-undang atau memperbaharui undang-undang yang sedia ada supaya masalah ini dapat ditangani segera sebelum ia semakin membarah dalam masyarakat.

Dr. Zulqarnain Lukman ialah peguambela, peguamcara dan peguam syarie

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas